
KUALA LUMPUR - Tulisan Jawi di bumi Malaysia dikhuatiri akan pupus dan seorang pakar tulisan jawi berbangsa Korea melahirkan kebimbangan tulisan itu semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda.
Mula mengkaji tulisan jawi sejak 1974, Prof. Dr. Kang Kyoung Seok daripada University of Foreign Studies menganggapnya sebagai satu keunikan milik Malaysia.
Menurutnya, tulisan jawi sedang "tenat" dan jika keadaan itu berterusan, ia mungkin pupus satu hari nanti.
"Malaysia perlu mendidik generasi muda dalam tulisan jawi. Sekarang terlalu ramai pakar saya kenali sudah bersara tanpa ada pengganti. Bila pakar sudah tiada, siapa akan menerajui usaha pemeliharaan tulisan jawi nanti?," kata Dr Kang yang fasih berbahasa Melayu.
Beliau turut menegaskan media memainkan peranan penting dalam memastikan tulisan jawi digunakan secara lebih meluas.
Beliau yang juga pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris berharap akhbar yang menggunakan bahasa jawi seperti Utusan Melayu diberi nafas baru untuk menarik minat rakyat di negara ini membacanya.
Kyoung Seok menarik perhatian bahawa sistem ejaan jawi sekarang perlu dikembalikan kepada sistem ejaan jawi Za'ba yang lebih ringkas dan mudah dipelajari bagi menarik lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya generasi muda menggunakan sistem tulisan itu.
"Ini kerana asas ejaan jawi Za'ba menggunakan asas yang sama dengan tulisan jawi kuno yang berasal daripada tulisan al-Quran. Tulisan jawi sekarang asasnya daripada tulisan rumi yang 'lari' daripada asas tulisan jawi kuno,"jelasnya.
Beliau berkata Malaysia perlu melahirkan lebih ramai pakar tulisan jawi terutamanya daripada kalangan generasi muda bagi menggantikan pakar yang telah bersara.






