
PELABUHAN KLANG, 22 Feb. - Beberapa NGO hari ini berhimpun di Pelabuhan Klang untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap kerajaan yang membenarkan kapal dagang Israel berlabuh di situ.
Seramai kira-kira 100 orang dilihat telah mula berkumpul sejak dari jam 5 petang lagi.
Mereka dilihat berarak ke pintu masuk pelabuhan itu dengan sebahagian daripada mereka membawa sepanduk bertulis 'Umno Hipokrit', 'AMK bantah Kapal Israel, '1 Malaysia-1 Israel', 'Umno Traitor’ dan ‘Jingga 13 with Palestine’.
Salah seorang penganjur, Fariz Musa dari Jingga 13 berkata tindakan untuk membolehkan kapal Israel berlabuh di situ jelas menunjukkan kewujudan hubungan dua hala antara Malaysia dan Israel.
Katanya, untuk mengatakan bahawa kapal itu hanya berlabuh untuk sementara waktu adalah tidak logik kerana terdapat beberapa lori dilihat mengangkut kontena dari kapal tersebut.
"Kami berkumpul di sini hari ini untuk menuntut Perdana Menteri dan kabinetnya menyatakan dengan jelas dasar kerajaan yang membolehkan Israel kapal berlabuh," kata Fariz.
"Jika tiada dasar yang membolehkan ia berlaku, di sini kita jelas dapat melihat bahawa terdapat kapal Israel yang berlabuh di sini," katanya.
Fariz berkata, kumpulan itu akan menghantar satu memorandum kepada Kedutaan Palestin pada 29 Februari ini.
Tambah beliau, bersama-sama dengan memorandum itu tersebut akan disertakan bukti-bukti wujudnya hubungan dua hala antara kerajaan Israel dan kerajaan Malaysia.











