
KEDAH - Ekoran tindakan menggantung 5 pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau bersedia dipecat dari parti akan tetapi tidak akan sama sekali menarik semula kenyataannya sebelum ini.
Azizan berkata, beliau tidak takut dan sesiapa yang mengkritiknya harus belajar undang-undang terlebih dahulu.
Pemimpin PAS itu menjelaskan, AUKU masih terpakai di KUIN kerana institut pengajian tinggi itu tertakluk kepada peraturan Menteri Pengajian Tinggi, termasuk harus melaksanakan akta kontroversi itu.
Mei lalu,5 pelajar KUIN telah digantung pengajiannya kerana dituduh menyertai demonstrasi, memberikan ucapan kepada umum dan mengadakan sidang akhbar berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz.
Berhubung tindakan itu,Azizan telah mengundang marah kepada pelbagai pihak termasuk NGO, kumpulan pelajar dan daripada dalam Pakatan Rakyat sendiri apabila Azizan didakwa mengetepikan persetujuan bersama dalam Buku Jingga yang mahu menghapuskan akta itu.






