Hantar ke Facebook
Cetak
Beritahu Kawan
Rafa masih yakin Liverpool mampu bangkit
18 Jan 2010 11:42AMLONDON: Pengurus pasukan Liverpool, Rafael Benitez, menegaskan pasukannya mampu bangkit daripada krisis pertengahan musim ini walaupun pasukan itu menerima satu tamparan apabila seri 1-1 dengan Stoke City kelmarin.
Benitez tidak dapat menyembunyikan kekecewaan terhadap pengadil, Lee Mason, yang didakwanya gagal memberi dua tendangan penalti kepada Liverpool.
Namun, Benitez menegaskan bahawa pasukannya telah menunjukkan persembahan yang lebih positif selepas mengalami kekalahan di tangan pasukan Reading dalam pertandingan Piala FA England.
Stoke memperolehi gol penyamaannya pada minit-minit terakhir melalui bekas pemain Chelse, Robert Huth.
Liverpool meluru pada minit ke-57 melalui pemain pertahanan Greek, Sotirios Kyrgiakos.
Keputusan pertarungan ini mungkin berubah jika Mason memberi penalti selepas Danny Higginbotham melakukan kekasaran ke atas Lucas Leiva dalam separuh masa pertama.
Sebaliknya, Leiva dilayangkan kad kuning kerana didakwa sengaja menjatuhkan dirinya.
Benitez juga berpendapat Liverpool wajar menerima satu penalti setelah Higginbotham melakukan kekasaran lagi ke atas Leiva.
Tetapi apa juga terjadi, Benitez menegaskan Liverpool akan beraksi bermati-matian apabila pasukan itu menentang Tottenham Hotspur dalam pertandingan ini lusa.
'Kami wajar memperolehi dua tendangan penalti. Insiden itu begitu jelas. Kami berasa sungguh kecewa kerana pengadil tidak memberi penalti. Anda boleh menyaksikan pita perlawanan ini 110 kali tetapi anda pasti akan membuat kesimpulan yang sama mengenai dua insiden tersebut.
'Tetapi apa juga yang terjadi dalam perlawanan ini, kami harus memikirkan tentang cabaran perlawanan akan datang. Saya harap kami akan bermain seperti dalam perlawanan ini,' kata Benitez selanjutnya.
Beliau sedar keputusan seri itu bermakna pasukannya kerugian dua mata.
'Apa yang penting dalam perlawanan ini, para pemain telah membuktikan perwatakan masing-masing. Kami menghadapi masalah kecederaan,' ujarnya.
Benitez menolak pandangan bahawa beberapa pemain utamanya seperti kapten pasukan, Steven Gerrard, sudah hilang keyakinan terhadapnya.
'Cerita-cerita kononnya kami menghadapi masalah di bilik persalinan adalah tidak benar. Lihat Steven Gerrard. Beliau berada di sini untuk memberi sokongan kepada rakan-rakannya,' kata Benitez. / Reuters









