Hantar ke Facebook
Cetak
Beritahu Kawan
Lutut Berbatov mungkin kena bedah
18 Jan 2010 11:40AMMANCHESTER: Pengurus pasukan Manchester United, Sir Alex Ferguson, akan membuat keputusan hari ini sama ada Dimitar Berbatov perlu menjalani pembedahan pada lututnya atau tidak.
Berbatov turut menyumbatkan gol United untuk membenam Burnley 3-0 di Old Trafford kelmarin.
Pemain penyerang Bulgaria itu kelihatan terkial-kial beraksi sejak beberapa minggu lalu kerana masalah kesakitannya itu.
Walaupun United berharap pemain itu boleh beraksi sekalipun dalam keadaan yang sakit, Berbatov kelmarin benar-benar kelihatan tidak selesa.
Kesudahannya, Ferguson tidak mempunyai pilihan kecuali menggantikan pemain penyerang itu pada lewat permainan.
Kini Ferguson harus membuat keputusan sama ada pemain itu perlu menjalani pembedahan atau tidak.
Ferguson memberitahu: 'Berbatov kembali berasa sakit pada lututnya.
'Kami akan melihat keadaan lututnya esok untuk mengetahui pemain ini perlu pembedahan ataupun tidak.
'Beliau boleh digantikan selepas rehat tetapi beliau masih ingin bermain. Saya harap jaringan itu akan memberikan semacam dorongan kepadanya.
'Saya sentiasa menaruh keyakinan bahawa Berbatov adalah pemain yang akan menjaringkan gol dalam perlawanan ini kerana beliau mempunyai banyak peluang jaringan.
'Saya fikir beliau mempunyai 10 peluang. Beliau pasti berasa lega kerana berjaya juga menyumbatkan satu gol,' tambah Ferguson. / Reuters









