Hantar ke Facebook
Cetak
Beritahu Kawan
Rekod 100% Mancini diranap Everton
18 Jan 2010 11:39AMAPAKAH perasaan Robinho yang pada mulanya diletakkan dalam senarai pemain gantian dan selepas dimasukkan seawal minit kesembilan, digantikan pada minit ke-61?
Itu bermakna Robinho, pemain yang mengambil alih tempat Roque Santa Cruz, hanya beraksi selama 52 minit sahaja.
Melihat riak wajah dan gaya langkahnya semasa meninggalkan padang, Robinho yang digantikan oleh Shaun Wright-Phillips ternyata kecewa.
Tetapi pengurus pasukan Manchester City, Roberto Mancini, lebih kecewa kerana bekas pemain Real Madrid itu gagal membantu perjuangan pasukannya.
Kesudahannya, City tumbang 0-2 di tangan Everton di Goodison Park.
Sejak mengambil alih tempat Mark Hughes, City di bawah Mancini tidak pernah kecundang dalam empat perlawanannya.
Tetapi dini hari semalam, berakhir tempoh 'berbulan madu' pasukan City. Apabila diuji dengan pasukan yang lebih garang, City yang ternyata tenggelam dalam arus persaingan.
Kini yang menjadi pertanyaan wajarkah City tumbang?
Jawapannya, wajar.
Pertama, kita lihat bagaimana benteng pertahanan City apabila Everton memperolehi tendangan percuma pada minit ke-36.
Ramai yang tahu kebolehan Steven Pienaar, pemain Everton yang menyarung jersi Nombor 20, apabila membuat tendangan percuma yang menyerong.
Tetapi barisan pertahanan City seperti memberi ruang kepada Pienaar melakukan rembatannya itu.
Kesudahannya, Shay Given yang sentiasa sibuk dalam pertarungan ini, diperdayakan sekalipun beliau tahu arah tendangan tersebut.
Gol kedua Everton pada minit ke-45 boleh dianggap sebagai gol percuma.
Ia boleh dielakkan kerana pemain pertahanan City, Micah Richards, mempunyai cukup pengalaman dan harus tahu bahawa pemain yang menarik jersi lawan dalam petak penalti akan menerima padah.
Padahnya berbentuk tendangan penalti.
Itulah keputusan pengadil, Andre Marriner. Wajar dan tepat.
Louis Saha, yang menjadi mangsa tindakan Richards, menyempurnakan tendangan penalti itu.
Dengan keadaan terkial-kial, pasukan pelawat itu memberi peluang kepada Everton melebarkan jurang kedudukannya. Ini menyebabkan perjuangan pasukan itu semakin tertekan.
Kelihatan lebih tertekan ialah Mancini kerana pemain seperti Robinho yang dibeli dengan bayaran sebanyak £32 juta, sepanjang beraksi selama 52 minit, gagal melakukan sesuatu yang boleh merapatkan jurang kedudukan.
Kesudahannya, Robinho digantikan dan sekali gus menimbulkan tanda tanya apakah kedudukan dan peranannya dalam pasukan City pada masa depan.
'Adakah kedudukan Robinho berakhir dalam pasukan City? Jawapannya, tidak. Robinho adalah pemain yang baik. Seperti pemain-pemain lain dalam skuad City, beliau juga harus bekerja keras dan beraksi cemerlang,' demikian Mancini memberitahu.
Malangnya, Robinho beraksi lembap. Ini mengesahkan lagi tanggapan umum bahawa Robinho begitu sukar menyerlah di padang seteru.
Dan, itu juga adalah gambaran persembahan City dinihari semalam.
Dengan kekalahan ini, giliran Mancini pula mula mengenal tentang tekanan, kesukaran dan debaran menjadi pengurus pasukan dalam Liga Perdana England.
Mungkinkah Mancini akan menerima nasib seperti Hughes?
Terlalu awal untuk membuat ramalan tetapi dalam bola sepak Liga Perdana England, segala-galanya boleh berlaku.









