Mar 13, 2010      RSS Berita Terbaru      Sertai kami dalam Facebook     
    Carian:  

Berita Terbaru


Hantar ke Facebook    Cetak    Beritahu Kawan

Gol ke-100 Messi untuk Barca

18 Jan 2010 11:38AM

MADRID: Lionel Messi menjaringkan golnya yang ke-100 untuk Barcelona kelmarin sedang juara Sepanyol itu membelasah Sevilla 4-0 di Camp Nou untuk meninggalkan Real Madrid lima mata di belakang.

Messi, 22 tahun, menemui sasaran dalam lima minit terakhir perlawanan. Beliau kini telah menjaringkan lima gol dalam dua perlawanannya terakhir dan mencapai jumlah 101 gol sepanjang kerjayanya, sekali gus menjadi pemain termuda dalam sejarah kelab itu menjaringkan 100 gol.

Gol jaringan pemain sendiri, Julien Escude, dan satu lagi jaringan Pedro Rodriguez menggambarkan persembahan buruk Sevilla yang pada pertengahan minggu lalu menyingkirkan Barca daripada pertandingan Piala Raja Sepanyol.

Awal kelmarin, Real kecundang 1-0 di Athletic Bilbao dan Barca menghukum keciciran Real itu dengan mencatatkan kemenangan pertama mereka di padang sendiri dalam tahun ini dan menjarakkan jurang mata kepada lima.

'Masih ada separuh musim lagi jadi kami tidak harus bersikap sambil lewa,' kata Messi yang mendahului senarai penjaring terbanyak dengan 14 gol.

Pertemuan kelmarin adalah yang ketiga antara Sevilla dengan Barca dalam 11 hari dan selepas terkeluar daripada pertandingan piala, Barca memastikan mereka dapat membalas dendam.

Kekalahan kelmarin juga adalah yang keempat berturut-turut bagi Sevilla dalam liga dan kini mereka berada di tangga keenam.

Bilbao kini mempunyai mata yang sama dengan Sevilla selepas mengalahkan Real 1-0 di San Mames.

Pemain antarabangsa Sepanyol, Fernando Llorente, menanduk masuk gol kemenangan Bilbao selepas dua minit sahaja perlawanan dimulakan dan Bilbao kemudian terpaksa menyerap serangan bertubi-tubi Real, dengan Karim Benzema, Kaka dan Cristiano Ronaldo kesemuanya nyaris mendapatkan gol.

'Kami mencipta peluang-peluang untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik dan satu pasukan sahaja yang nampaknya berada di padang,' ujar jurulatih Real, Manuel Pellegrini.

'Bagaimanapun, anda perlukan sedikit tuah untuk memanfaatkan peluangpeluang ini. Apabila anda kalah, jelas anda telah tidak melakukan sesuatu yang betul.

'Perjalanan masih lagi jauh dengan lebih separuh musim.'

Dalam pada itu, presiden Barcelona, Joan Laporta, mahu jurulatih Barca, Pep Guardiola, memberiahu kelab itu menjelang April sekiranya beliau merancang untuk kekal dengan kelab juara Eropah itu selepas musim ini.

Guardiola, 39 tahun, telah memimpin kelab itu mencapai rekod dengan memenangi enam kejuaraan sejak mengambil alih tugas jurulatih pada permulaan musim lalu.

Keengganannya membuat komitmen bagi lanjutan kontrak telah mencetuskan spekulasi bahawa beliau mungkin berpindah ke kelab saingan Barca atau berehat sebentar daripada tugas sebagai jurulatih.

'Tentulah baik jika dapat tahu siapa yang akan menjadi jurulatih pada musim depan,' kata Laporta, yang tempohnya sebagai presiden Barca akan tamat pada hujung tahun ini.

'Ia adalah yang terbaik untuk institusi ini kerana ia akan menyampaikan pesanan yang menenangkan,' katanya di laman Barca, www.fcbarcelona.cat.

'Ia tempoh masa yang baik kerana ia akan memberi kami masa untuk mencari pilihan lain, meskipun itu bukanlah sesuatu yang sedang saya pertimbangkan.' / AFP, Reuters

Iklan Teks

Ruang iklan untuk disewa. RM1 sehari, RM50 / 60 hari. Maksimum 20 patah perkataan sahaja...