Hantar ke Facebook
Cetak
Beritahu Kawan
Mesir kekal rekod tanpa kalah
18 Jan 2010 11:34AMLUANDA: Mesir meneruskan lagi rekod mereka dalam Piala Negara-Negara Afrika kepada 14 perlawanan tanpa kalah selepas menempah tiket ke suku akhir dengan kemenangan 2-0 ke atas Mozambique kelmarin.
'Kami bangga dengan rekod ini,' kata kapten Mesir, Ahmed Hassan. 'Tetapi yang lebih penting ialah kami mengalahkan sebuah pasukan Mozambique yang kuat hari ini.'
Awal daripada itu, Nigeria melangkah setapak lagi untuk menyertai juara bertahan tersebut ke suku akhir dengan kemenangan 1-0 ke atas Benin.
Mesir mendahului selepas Dario Khan menjaringkan gol sendiri - kali kedua berturut-turut di kejohanan ini - seminit selepas rehat.
Pemain gantian Mohamed 'Gedo' Nagy memastikan kemenangan bagi pasukan Firaun (gelaran Mesir) dengan jaringan pada minit ke-81.
Mesir, yang sudah memastikan tempat di tangga teratas Kumpulan C, menyertai pasukan pilihan, Ivory Coast, yang memastikan tempat mereka di suku akhir 24 jam sebelum itu.
Ivory Coast, daripada Kumpulan B, merupakan pasukan pertama yang melayakkan diri.
Jurulatih Belanda Mozambique, Mart Nooij, mengulas: 'Kami menyukarkan laluan Mesir - juara bertahan Afrika.
'Kami melepaskan gol pada awal separuh kedua dan lantas terpaksa mengejar mereka, jika tidak tentulah mereka lebih sukar mengalahkan kami.'
Selepas kalah kepada Mesir dalam perlawanan pembukaan mereka, Nigeria turun padang dengan memikul tekanan yang tinggi pada bahu mereka.
Selepas 42 minit, mereka akhirnya memecahkan kebuntuan.
Penyerang Everton, Yakubu Aiyegbeni, menyempurnakan sepakan penalti selepas pemain Benin, Romuald Boco, memegang bola tandukan Osaze Odemwingie yang menuju ke arah gol.
Ini adalah kemenangan Nigeria yang ketiga dalam tiga pertemuan dengan jirannya di kejohanan Piala Negara-Negara Afrika dan membolehkan mereka ke tangga kedua dengan tiga mata.
'Ia satu perlawanan yang sukar, kami tidak menjangkakan sesuatu yang senang kerana tiada lagi pasukan kecil,' kata jurulatih Nigeria, Shuaibu Amodu.
Kapten Benin, Damien Chrysostome, berkata pasukannya kurang bernasib baik kerana dua kali cubaan pasukannya terkena palang gol. / AFP









