Sep 3, 2010      RSS Berita Terbaru      Sertai kami dalam Facebook     
    Carian:  

Berita Terbaru


Hantar ke Facebook    Cetak    Beritahu Kawan

Chelsea gah tanpa 'pak hitam'

18 Jan 2010 11:31AM

LONDON: Nicolas Anelka boleh mengisi kekosongan tempat Didier Drogba menyusuli kejayaan pemain Perancis itu menyumbatkan dua gol bagi membantu Chelsea membelasah Sunderland 7-2 dalam pertandingan Liga Perdana England kelmarin.

Demikian pandangan pengurus pasukan Chelsea, Carlo Ancelotti.

Chelsea kehilangan tenaga Drogba kerana pemain penyerang berbadan tegap itu kini sedang mewakili negaranya, Ivory Coast, dalam pertandingan Piala Negara-Negara Afrika.

Dengan ketiadaan Drogba sepanjang bulan ini, Anelka menjadi pemain penyerang tunggal yang paling berpengalaman dalam pasukan Chelsea.

Berdasarkan tahap persembahannya menentang Sunderland, Anelka sudah bersedia menghadapi apa juga bentuk cabaran dalam membantu perjuangan pasukan Chelsea yang ketiadaan empat pemain dari Afrika.

Antaranya termasuk kapten pasukan Ghana, Michael Essien.

'Kami kerap beraksi tanpa Drogba dan nampaknya Anelka berjaya menyerlah termasuk dalam perlawanan ini.

'Anelka adalah pemain penyerang yang handal dan kami gembira beliau adalah antara pemain dalam pasukan Chelsea,' Ancelotti memberitahu.

Walaupun Chelsea tidak dapat menggunakan tenaga Drogba, Essien dan dua lagi pemainnya, John Obi Mikel dan Salomon Kalou, Ancelotti yakin beliau mempunyai sumber kekuatan yang cukup untuk mengimbangi ketiadaan empat pemain itu.

'Saya fikir persembahan Chelsea dalam perlawanan ini mungkin yang terbaik pada musim ini. Kami bermain dengan baik dari awal sehingga ke akhir perlawanan.

'Kami juga telah memulakan permainan dengan membanggakan. Tanpa empat pemain dari Afrika ini, kami mungkin menghadapi masalah.

'Saya selalu menyebut bahawa Chelsea mempunyai skuad yang mantap dan hari ini, pemain-pemain lain pula turut menyerlah.

'Saya fikir ini adalah antara perlawanan penting kami. Berdasarkan keputusan perlawanan ini, ia bermakna Chelsea boleh beraksi tanpa pemain-pemain dari Afrika,' beliau menambah.

Walaupun kemenangan besar ini memberi semacam amaran kepada seteru-seteru seperti Manchester United, Ancelotti menegaskan beliau tidak mahu memikirkan tentang pasukan-pasukan lain.

'Kami tidak mahu memberikan sebaran mesej kepada mana-mana pasukan. Saya fikir persembahan kami adalah baik dan ini akan meningkatkan lagi tahap keyakinan kami dan mendorong Chelsea untuk terus bermain dengan lebih baik lagi,' tambah pengurus pasukan dari Italy itu.

Menyedari penguasaan Chelsea dalam pertarungan ini begitu ketara, Ancelotti menggantikan dua pemain utamanya, Ashley Cole dan John Terry, pada separuh masa pertama.

Cole mengalami kecederaan selepas menjaringkan gol ketiga pasukannya dan Terry pula direhatkan sebagai persiapan menghadapi perlawanan-perlawanan yang lebih mencabar pada masa depan.

Mengulas tentang gol-gol Chelsea, Ancelotti berpendapat gol Cole yang paling menarik.

'Barangkali jaringan Cole adalah yang terbaik. Gerakannya menarik, gaya beliau menggelecek juga hebat dan golnya tidak kurang mengagumkan.

'Cole mengalami sedikit kecederaan pada buku lali dan kami mengambil keputusan menggantikannya sebagai langkah berjaga-jaga,' tambah Ancelotti selanjutnya.

Sementara itu, pengurus pasukan Sunderland, Steve Bruce, berharap beliau tidak akan terus berdepan dengan masalah kecederaan menjelang perlawanan menentang Portsmouth dalam Piala FA England.

'Kami harap empat ataupun lima pemain kami akan dapat kembali menyertai latihan. Tidak syak, kami terkial-kial sejak enam minggu lalu kerana kerana kami tidak mempunyai antara lapan dengan 10 pemain utama kami.

'Kami memerlukan tenaga-tenaga pemain ini untuk mengembalikan keyakinan dalam pasukan,' kata bekas pemain Manchester United. / Reuters


The Blues tiada masalah belasah Sunderland 7-2 tanpa Drogba, Kalou, Essien dan Jon Obi Mikel

Iklan Teks

Ruang iklan untuk disewa. RM1 sehari, RM50 / 60 hari. Maksimum 20 patah perkataan sahaja...