Mar 12, 2010      RSS Berita Terbaru      Sertai kami dalam Facebook     
    Carian:  

Berita Terbaru


Hantar ke Facebook    Cetak    Beritahu Kawan

Barcelona tersingkir saingan Piala Raja Sepanyol

15 Jan 2010 12:50PM
Jurulatih Barcelona, Pep Guardiola, tidak menyembunyikan kekecewaannya apabila pasukan handalan itu tersingkir di tangan Sevilla dalam Piala Raja Sepanyol kelmarin.

Juara bertahan itu menang perlawanan kedua antara 16 pasukan terakhir tetapi kekalahan 1-2 di padang sendiri minggu lalu memberikan Sevilla kemenangan peraturan gol di padang lawan.

Itu merupakan kegagalan pertama Guardiola sejak mengambil alih Barcelona musim lalu.

'Kami terkeluar dan amat pedih sekali tersingkir daripada pertandingan ini,' jurulatih berusia 38 tahun itu memberitahu sidang akhbar.

'Ia bukan berita baik meskipun ada yang menyatakan kini kami boleh menumpukan perhatian kepada Liga Primera dan Liga Juara-Juara,' tambahnya.

'Dalam sukan, kami tidak diajar bagaimana untuk kalah dan ini menjejas kami.'

Barca, yang kini tidak boleh menyamai pencapaian musim lalu dengan memenangi enam kejuaraan, kali terakhir tersingkir daripada pertandingan pada April 2008 apabila tewas kepada Manchester United dalam perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara.

Guardiola menghadapi kritikan kerana menurunkan pasukan lemah dalam perlawanan pertama hujung minggu lalu tetapi menurunkan bintang-bintangnya dalam perlawanan kedua, termasuk Pemain Terbaik Dunia, Lionel Messi, Zlatan Ibrahimovic, Xavi dan Andres Iniesta.

Kapten dan penjaga gawang Sevilla, Andres Palop, bermain dengan cemerlang menyelamatkan sekurang-kurangnya empat kedudukan bahaya dan Messi pula kecewa apabila percubaannya terkena tiang.

Guardiola menyalahkan dirinya atas kekalahan itu tetapi gembira dengan kekecewaan pemain-pemain yang menunjukkan bahawa mereka masih laparkan kejayaan.

'Dengan skuad ini dan pemain-pemain yang ada, kami boleh menjangkakan persembahan yang lebih baik selepas tersingkir daripada piala ini,' tegas jurulatih Barcelona itu.

'Para pemain begitu kecewa dan itu satu petanda baik. Ia menunjukkan mereka masih laparkan kejayaan.'

Barcelona akan sekali lagi menentang Sevilla dalam Liga Primera di Nou Camp esok.

Dalam perlawanan lain, Getafe mengatasi kekalahan 1-2 dalam pertemuan pertama dengan kemenangan agregat 6-3 ke atas Malaga.

Iklan Teks

Ruang iklan untuk disewa. RM1 sehari, RM50 / 60 hari. Maksimum 20 patah perkataan sahaja...