Hantar ke Facebook
Cetak
Beritahu Kawan
Tapis internet: Google gaduh dengan kerajaan China
15 Jan 2010 12:48PMChina semalam memberitahu syarikat-syarikat di negara itu agar bekerjasama dengan kawalan Internet oleh pemerintah, tanpa menunjukkan ia akan melonggarkan dasar penapisannya selepas syarikat raksasa Internet Amerika Syarikat, Google, mengancam akan keluar dari negara itu.
Ini mungkin memburukkan lagi ketegangan antara China dengan Amerika, yang sedang menghadapi tengkarah berhubung nilai mata wang yuan, pertikaian dagangan dan rundingan perubahan iklim.
Kes terbaru itu menonjolkan isu penggodaman dan kawalan Internet yang menjejas perniagaan Google di China.
Google, jentera pencari ruang siber paling utama di dunia, berkata ia tidak akan mematuhi dasar penapisan China dan mungkin menutup lamannya dalam bahasa Cina, www.google.cn kerana serangan siber dari China ke atas aktivis hak asasi dan puluhan syarikat yang menggunakan khidmat Gmailnya.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web Pejabat Maklumat Majlis Negara, jurucakap kabinet China, Wang Chen, memberi amaran terhadap pornografi, serangan siber, penipuan dalam talian dan 'khabar angin', sambil berkata pemerintah dan media Internet mempunyai tanggungjawab dalam membentuk pandangan awam.
Kenyataan itu berkata China sendiri menjadi mangsa penggodaman dan ia menentang keras perbuatan menggodam.
Ulasan Wang itu, reaksi pertama oleh seorang pegawai Beijing selepas Google mengancam meninggalkan China berikutan serangan siber itu, tidak memberi sebarang isyarat bahawa China, yang mempunyai 360 juta pengguna Internet, iaitu terbesar di dunia, akan melonggarkan dasarnya.
Kenyataan Wang tidak menyebut secara langsung tentang Google.
Pakar-pakar siber berkata lebih 30 firma menjadi mangsa serangan yang menggunakan perisian berniat jahat yang menjejas perisian Adobe Acrobat dan Adobe Reader.
Akhbar rasmi The China Daily menyifatkan ancaman Google itu sebagai satu 'strategi menekan pemerintah China'. Namun, puluhan peminat Google di China mengadakan perhimpunan berlilin di ibu pejabat Google di Beijing lewat kelmarin.
Setiausaha Perdagangan Amerika, Gary Locke, kelmarin menggesa China memastikan sekitaran komersial di negara itu selamat bagi syarikat Amerika, sambil berkata ia membimbangkan pemerintah dan syarikat Amerika yang berniaga di China.









