Feb 9, 2010      RSS Berita Terbaru      Sertai kami dalam Facebook     
    Carian:  

Berita Terbaru


Hantar ke Facebook    Cetak    Beritahu Kawan

Luahan perasaan ahli UMNO

16 Nov 2009 2:35PM

Oleh Ahli Seumur Hidup UMNO 

Kadang-kadang terasa pelik juga melihat cara keadilan di Malaysia ini dilaksanakan.

Tidak, saya tidak pernah hilang keyakinan terhadap mana-mana institusi. Sama seperti tidak pernah hilangnya keyakinan saya pada kerajaan.

Tetapi ada masanya, saya ragu-ragu dengan cara pihak pelaksana dasar melaksanakan apa yang diamanahkan kepada mereka.

Terkini, kes yang melibatkan, Mohd Taupik Hussain saksi perbicaraan kes bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria dan ejennya.

Dalam keterangannya di mahkamah sesyen Temerloh, Taupik mendakwa dia didera dan diaibkan dengan dilondehkan seluar dan bajunya oleh pegawai SPRM yang menyoal-siasatnya bagi memaksanya membuat pengakuan bahawa dia hadir dalam satu pertemuan di Mont Kiara bersama tertuduh kedua (Mohamad Norza) pada 19 Jan lalu pada pukul 8 malam.

Susulan dakwaan itu, peguam yang mewakili Norza Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah memohon supaya mahkamah melarang pihak SPRM mengganggu dan menghubungi saksi tersebut.

Mahkamah memperkenankan permohonan itu.

Selang tiga hari kemudian, Taupik, yang juga Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju itu didakwa atas tiga tuduhan memberi keterangan palsu, iaitu pertama, apabila menyatakan tidak pernah berjumpa Mohamad Norza di tepi jalan di Mont Kiara di ibu negara pada malam 19 Januari lepas; kedua, dia didakwa atas tuduhan serupa dengan menyatakan tidak menerima sebarang sampul surat putih daripada Mohamad Norza pada tarikh dan tempat yang sama dan ketiga kerana menyatakan dia tidak pernah menyerahkan sampul surat warna putih semasa berada di majlis jamuan di rumah Muhammad Anuar Mohd. Yunus di sini pada 20 Januari lalu.

Di sinilah peliknya. Ia betul-betul menyebabkan orang kecil macam saya tergaru-garu kepala.

Tanpa maksud mengganggu proses perbicaraan, saya cuba mencari bagaimana keadilan boleh ditegakkan dengan cara ini. Katakanlah anda ditangkap, lalu didera untuk mendapatkan pengakuan bagi sesuatu yang anda tidak lakukan, dan kerana takut terus didera, anda pun mengaku. Kemudian apabila dihadap ke mahkamah, anda menukar pengakuan itu – semata-mata untuk membolehkan anda dituduh pula dengan tuduhan lain; memberi keterangan palsu.

Maaf, saya mungkin jahil tentang undang-undang; tetapi orang yang jahil macam saya sangat ramai. Mereka juga tentu menagih penjelasan untuk perkara seperti itu.

Pada masa yang sama mereka mungkin tertanya-tanya kenapa kalau yang mendakwa didera oleh SPRM itu datangnya dari DAP atau parti-parti pembangkang lain, kerajaan sanggup bersusah payah mengadakan inkues. Silap-silap, sanggup tubuhkan Suruhanjaya Diraja. Tapi bila kena pada ahli UMNO, yang kena bukannya pihak yang didakwa memukul, sebaliknya pihak yang mendakwa dipukul.

Soalan lain yang timbul ialah, di mana UMNO dalam menghadapi isu seperti ini? Kenapa UMNO tidak mampu mempamerkan semangat seperti DAP, PAS dan PKR, yang tidak akan berpeluk tubuh apabila ‘orang mereka yang kena’?

Hal begini terjadi dalam banyak perkara. Ada benda yang orang kita ‘tak boleh cakap atau sentuh’, tapi mereka di pihak pembangkang bebas menyebutnya di setiap pentas ceramah dan medan media. Ia seakan memberi gambaran bahawa hanya kerana mahu menjaga hati pembangkang, pemerintah sering memandang ringan pada hak dan kepentingan pihak yang bermati-matian menyokong kerajaan.

Kerajaan mungkin popular dengan tindakan seperti ini; tetapi sampai bila dan sampai ke mana?

Sampai bila jugakah kita harus menampar anak sendiri semata-mata untuk membuktikan kepada orang kita ini anak yang baik dan tegas – tanpa mempedulikan si anak bersalah atau tidak.

Terus terang saya takut, kalau amalan ini berlarutan nanti orang mula melagukan betapa untungnya menjadi penyokong pembangkang dan betapa ruginya menjadi penyokong kerajaan...

Iklan Teks

Ruang iklan untuk disewa. RM1 sehari, RM50 / 60 hari. Maksimum 20 patah perkataan sahaja...