Feb 9, 2010      RSS Berita Terbaru      Sertai kami dalam Facebook     
    Carian:  

Berita Terbaru


Hantar ke Facebook    Cetak    Beritahu Kawan

Langkah terbaru Samy pulihkan MIC

29 Oct 2009 4:36PM

Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu pada Khamis mengarahkan kesemua 3,600 cawangan parti itu dinilai semula bagi memulihkan cawangan yang lemah dan menghidupkan semula Majlis Presiden sebagai sebahagian daripada proses transformasi parti itu.

Dengan 800 cawangan baru parti itu yang sedang menunggu kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS), beliau berkata proses penilaian semula cawangan-cawangan parti akan dilakukan dengan menggunakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bermula awal tahun depan.

"Kita telah melantik pakar teknikal untuk melaksanakan KPI ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC di ibu pejabat parti itu di sini pada Khamis.

Samy Vellu berkata terdapat aduan yang mengatakan sesetengah cawangan parti itu tidak aktif malah ada ketua cawangan yang didapati tidak menjalankan tugas dengan baik.

"Terdapat keperluan untuk kembali memperkukuhkan dan memperbaiki prestasi ketua-ketua cawangan bagi membolehkan mereka kembali rapat dengan rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat melalui campurtangan daripada pihak kerajaan," katanya.

Mengenai usaha menghidupkan semula Majlis Presiden, Samy Vellu berkata tugas badan itu ialah untuk merangka satu perancangan induk komuniti India yang akan dilaksanakan sebelum 2013.

Majlis itu akan dipengerusikan sendiri oleh beliau manakala ahli-ahlinya terdiri daripada Timbalan Presiden parti, Datuk G. Palanivel, Naib presiden, Datuk Dr S.Subramaniam, semua wakil rakyat, exco negeri dan senator dari MIC.

Ojektif utama majlis itu adalah untuk mencipta satu pendekatan yang cekap dalam mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi komuniti India dan membawanya ke peringkat kerajaan untuk tindakan seterusnya melalui wakil-wakil parti dalam kerajaan.

Samy Vellu berkata majlis itu akan bermesyuarat dua kali sebulan dan ahli-ahlinya akan melaporkan pelbagai langkah baru dan program yang dicadangkan oleh kerajaan, selepas itu, akan menasihatkan wakil-wakil MIC untuk membangkitkan perkara itu kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab.

"Majlis itu juga akan menentukan perkara-perkara yang melibatkan komuniti India yang perlu dibangkitkan di Parlimen," katanya.

Samy Vellu berkata MIC juga akan mengadakan mesyuarat konsultatif Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) pada 5 Nov ini bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik, aktivis sosial dan pertubuhan belia.

"Kami mahu penglibatan sama organisasi ini dalam membantu kita untuk menghantar syor untuk masyarakat India dalam RMK-10. Kami mahukan input daripada mereka agar cadangan itu dapat merangkumi semua perkara," katanya.

Beliau berkata MIC juga akan mengadakan bengkel untuk 150 ketua bahagian pada 15 Nov ini untuk melatih mereka membiasakan diri apabila berhadapan dengan sesuatu krisis.

Iklan Teks

Ruang iklan untuk disewa. RM1 sehari, RM50 / 60 hari. Maksimum 20 patah perkataan sahaja...