Hantar ke Facebook
Cetak
Beritahu Kawan
McDonald's gagal halang nama restoran McCurry
09 Sep 2009 1:27PMPUTRAJAYA: Rangkaian restoran makanan segera McDonald's semalam hilang hak eksklusifnya selepas gagal menghalang sebuah restoran makanan India tempatan, McCurry Restaurant (KL) Sdn Bhd, daripada menggunakan awalan 'Mc' untuk papan tanda perniagaannya.
Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan bahawa McDonald's tidak boleh mengemukakan rayuan ke atas keputusan awal sebuah mahkamah yang membenarkan restoran McCurry menggunakan awalan 'Mc'.
Semalam, McDonald's turut diarahkan membayar RM10,000 kepada McCurry yang mempunyai cawangan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Kes itu telah berlarutan selama lapan tahun.
Pada April lalu, McDonald's hilang hak eksklusif terhadap penggunaan huruf awalan 'Mc' setelah Mahkamah Rayuan memutuskan restoran McCurry boleh menggunakan pengenalan serupa dalam urusan perniagaannya.
Dengan penghakiman itu, restoran McCurry tidak perlu menukar namanya ketika mempamerkan papan tanda kerana huruf awalan 'Mc' dan warna yang sama dengan McDonald's tidak akan mencetuskan kekeliruan.
Panel tiga hakim itu memutuskan demikian setelah membenarkan rayuan restoran makanan India itu, sekali gus mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi yang memutuskan sebaliknya.
Keputusan sebulat suara oleh Hakim Datuk Heliliah Mohd Yusof dan Hakim Datuk Sulong Matjeraie itu juga mendapati Mahkamah Tinggi tersilap ketika mengandaikan McDonald's mempunyai monopoli terhadap penggunaan huruf awalan 'Mc'.
Pada 7 September 2006, Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad membenarkan saman yang dikemukakan oleh McDonald's terhadap McCurry Restaurant setelah mendapati tanda pengenalan 'Mc' yang digunakan itu boleh menimbulkan kekeliruan dan berunsur penipuan.
Beliau menyatakan, tindakan McCurry Restaurant jelas merupakan cubaan untuk mendapatkan keistimewaan secara tidak adil yang telah menjejas reputasi McDonald's yang selama ini dikenali dengan jenama 'Mc'.
Dalam pernyataan tuntutannya, McDonald's menyatakan ia mencipta huruf awalan 'Mc' sebagai jenama untuk digunakan bagi semua barangan dan perkhidmatan yang dijual di restoran dan nama komersialnya itu turut dikenali di lebih 120 buah negara.
Syarikat itu, yang mengendalikan restorannya di Malaysia sejak 1982 dan kini terdapat lebih 25,000 restoran di 177 negara dengan 137 cawangan di Malaysia, mendakwa ia telah membina reputasi baik dan jualan memberangsangkan bagi makanan, minuman dan perkhidmatan menggunakan jenama 'Mc'.
Bagaimanapun, restoran McCurry yang sebelum ini dikenali sebagai Restoran Penang Curry House (KL) Sdn Bhd, dalam pernyataan balas berkata 'McCurry' dicipta berdasarkan huruf singkatan Malaysian Chicken Curry, yang jelas merupakan konsep Malaysia.
McCurry Restaurant berkata, menu di restoran itu ialah makanan cita rasa Malaysia dan India yang terdiri daripada teh tarik, roti canai, nasi lemak, nasi beriani, kari kepala ikan, ayam tanduri, roti naan, tose, capati serta kari ayam dan kambing. / Agensi.

McDonald's turut diarahkan membayar RM10,000 kepada McCurry









