Mar 14, 2010      RSS Berita Terbaru      Sertai kami dalam Facebook     
    Carian:  

Berita Terbaru


Hantar ke Facebook    Cetak    Beritahu Kawan

Mencabar puitika Aristotle dengan Kopitiam Ghadir

13 Aug 2009 12:14PM

Oleh Faisal Tehrani

MALAM ini pementasan Kopitiam Ghadir akan bermula, sebagai salah seorang pengamal teater di Malaysia, kedudukan saya tentunya kecil sahaja berbanding gergasi yang sedia ada. Dalam dunia teater - jika ada senarainya, nama Faisal Tehrani selalu tertinggal.

Kerana itu poster Kopitiam Ghadir akan selalu diturunkan apabila kami menampalnya di papan notis mengiklankan teater. Seolah-olah sakit sangat mata dan hati mereka melihat poster Kopitiam Ghadir.

Dan pastinya Kopitiam Ghadir yang ditunjangi muzik tidak terkalahkan berbanding muzikal Tun Abdul Razak yang bakal dipentaskan oleh Kementerian Kebudayaan, Penerangan dan Komunikasi mulai 16-20 Ogos ini.

Muzikal Tun Abdul Razak adalah sebuah pementasan state sponsor yang melimpah ruah wang ringgit berbanding produksi kami yang berlatih di padang bola Petaling Jaya, taman rekreasi Shah Alam dan “diusir keluar” dengan cara paling “melukakan” oleh Dewan Bahasa dan Pustaka  (tempat asal pementasan kami) sehingga “terbuang membawa diri” ke Wisma ITNM di Wangsa Maju.

Dari segi bentuk sebuah ‘drontas’, Kopitiam Ghadir bercita-cita besar untuk mencabar Puitika Aristotle. Saya berpegang kepada mazhab didaktik. Dan itu bukan lagi rahsia dalam kalangan elitis sastera dan pengekor karya saya. Mazhab didaktik memang berniat ‘untuk mengajar’.

Dalam perkembangan kesusasteraan dan drama dunia, didaktik pernah mendapat tempat yang kejap dan kukuh. Ambil sahaja naskah Hesiod berjudul Theogony (8 SM) yang menggabungjalinkan puisi dengan ‘kisah’ penciptaan dunia dan hubungannya dengan dewa-dewa.

Dalam khazanah sastera Latin, Virgil membawakan Georgics (1 SM) dengan mengkuliahkan prinsip moral dan institusi kekeluargaan. Zaman Pertengahan menyaksikan ‘didaktik’ mendapat tempat di Eropah dan ia mulai meresap dalam prosa.

Ia merosot kemudiannya dan kembali dalam kurun ke-18 di mana puisi-puisi tradisi Virgil dihadirkan semula dengan sengaja seperti yang terlihat pada karya Erasmus Darwin berjudul Biotanic Garden (1789-1791).

Sebagai penganut mazhab didaktik dalam berkarya, mencabar puitika Aristotle tentulah dirasakan sedikit gila. 

Ini kerana asas gubahan ‘epik’ menurut Aristotle adalah peniruan (mimesis) untuk mencapai katarsis (puncak nikmat) dan menyedari hamartia (kesilapan).

Tugas saya mendefinisikan semula mimesis, katarsis dan hamartia Aristotle. Ya, dengan cara saya sendiri, mengikut kehendak dan walayat sebenar.

Matlamat seni menurut Aristotle, ada yang memang  - kerana bertujuan seni, ada yang sekadar suka-suka dan ada yang meniru kerana ‘habitnya’ begitu. Peniruan dibuat menerusi media irama, ucapan dan melodi.

Di sinilah manipulasi lagu, dan muzik didatangkan dan sengaja saya mendapatkan khidmat penyanyi-penyanyi band indie untuk menyampaikan himpunan lagu-lagu dengan lirik didaktis. Tentulah ironi. Tetapi penyanyi band indie juga khalifah Allah di muka bumi.

Mereka tidak terlepas dari alam kubur dan kematian tiba-tiba. Kerana itu penyanyi band indie ini mudah dilunakkan, kerana mereka Alhamdulillah memang mengenal asal penciptaan, wilayah kedudukan dan kehendak taklif.

Untuk memberikan kesegaran kepada Kopitiam Ghadir saya memastikan elemen komedi di mana menurut tradisi drama Greek, komedia adalah “peniruan yang memburukkan terhadap orang yang lebih inferior tetapi ia dilakukan bukan sehingga mnenyakitkan hati orang”.

Aristotle percaya dalam ‘puitikanya’ bahawa tragedi harus menekankan plot di mana ia adalah tunjang.

Sebab dan akibat sangat bertalian. Kerana itulah dalam Kopitiam Ghadir apabila seorang agamawan yang sombong sesat ke dalam sebuah kampung ‘terpencil dan kecil’ ia berasa rimas tetapi terhadirnya ia ke wilayah yang penghuninya minoriti, dan aneh di matanya itu, telah mengakibatkan eksplorasi yang luar biasa buatnya.

Justeru, untuk memberi sebab dan akibat yang utuh didatangkan empat karektor yang akan mengheret ‘cerita (jika ia satu tragedi!)’ ke alam yang menurut agamawan tersebut ‘ini negeri bunian? Negeri jin? Negeri hantu?’.

Dan yang mengheret cerita itu ialah watak-watak seharian kita, strateginya untuk mengungkapkan - penyamaran dan peniruan kepada konflik keagamaan dan isu perpaduan ummah yang berlarutan di luar sana.

Sehubungan dengan itu, saya meminjam puitika Aristotle sekali lagi yang mana beliau juga menjelaskan drama harus  mengungkapkan pemikiran, menyampaikan isu dan hujah penting berkaitan satu-satu isu supaya di hujung akan terbukti ‘sesuatu itu sesuatu’ atau ‘sesuatu itu bukan sesuatu’.

Di sini datangnya ilham Kopitiam Ghadir iaitu makalah ilmiah Dr Engku Ibrahim Ismail, pensyarah Jabatan Pengajian Islam UM yang bertajuk 'Kesahihan dan Kemutawaritan Hadith Al-Ghadir’.

Untuk tujuan ini, saya mengambil kira ‘verbal expression’ yang menjadi kenderaan kepada pemikiran, maka untuk tujuan ‘peniruan komedia’; watak gagap akan bertembung dengan watak-watak lancar dan fasih yang menguasai topik dan hujah bagi meleraikan isu kepimpinan umat Islam.

Meski Aristotle menganggap lagu hanya sekadar memberi rasa sensasi dan visual pula memberikan emosi, saya mengeksploitasi lagu dan visual untuk mengenengahkan pegangan didaktik saya tersebut. Oleh kerana itu lagu dan lirik sendiri menjadi ‘kenderaan pemikiran’ watak-watak yang dihantar menerusi Kopitiam Ghadir.

Sekali lagi memperalatkan ‘puitika Aristotle’ sebagai ‘pencipta’ plot, saya menujah peripety, di mana ia merupakan kejutan yang juga ‘didaktis’. Jika Oedipus mengutus kejutan yang penuh kecelaan, saya menghantar kejutan yang tentu sahaja murni berpaksikan moral dan akhlak Islami.

Peripety ini tentulah satu recognition seperti yang dituntut Aroistotle lama dahulu dalam ‘puitikanya’ di mana berlaku atau terdapatnya perubahan  dari ketidakpedulian kepada kepedulian, yakni dari tahu menjadi tahu.

Cuma saya mengabaikan elemen pathos dalam recognition Aristotle tersebut. Pun Insya-Allah, ia masih merangsang penonton di mana masih ada tujahan elemen fearful dan pitiable.

Namun, memain-mainkan tragedi milik Aristotle dengan menerbalikkan tragedi itu menjadi ‘keberuntungan’ buat agamawan tentu sahaja sesuatu yang mencabar kerana hero tidak membuat pilihan yang salah, dan di sebalik kedunguannya; ia ternyata menjadi lebih pandai dan bijak, dan setelah mengalami kekeliruan oleh apa yang ia lihat (appearance) ia menjadi lebih kenal ‘real’ dan bukti konkrit berdasar al-Quran dan sunnah.

Mungkin di sini anutan didaktis saya memainkan peran yang penting kerana ia muncul dalam drama sebagai parabasis bersulam exodus. Keinginan mencabar bentuk puitika Aristotle saya itu akan diterjemahkan dengan Kopitiam Ghadir dipentaskan antara 13 Ogos sehingga 16 Ogos di Wisma ITNM, Institut Terjemahan Negara, Wangsa Maju.

Seperti kata saya di awal, kami ‘pencabar puitika Aristotle’ yang miskin tetapi kalau sudah namanya mencabar; kami memang garang mencabar, dan seribu kali diusir pun kami tidak akan lelah!
    
ASWARA
JALAN TUN ISMAIL

Penulis adalah penerima Anugerah Seni Negara 2006 oleh kerajaan Malaysia. Beliau juga menulis di majalah Milenia Muslim, Dewan Siswa, Siasah, Suara Baru dan Tunas Cipta. Blog penulis juga boleh dilayari di tehranifaisal.blogspot.com - Pengarang


Seperti kata saya di awal, kami ‘pencabar puitika Aristotle’ yang miskin tetapi kalau sudah namanya mencabar; kami memang garang mencabar, dan seribu kali diusir pun kami tidak akan lelah!



Iklan Teks

Ruang iklan untuk disewa. RM1 sehari, RM50 / 60 hari. Maksimum 20 patah perkataan sahaja...