Hantar ke Facebook
Cetak
Beritahu Kawan
Eksklusif 07: Belajar Mukaddam dalam ISA
12 Aug 2009 8:46AMOleh Wartawan klpos.com
MINATNYA mengumpul barang-barang lama seperti keris dan topeng pernah membuatkan seorang pekerja Indonesia ketakutan. Ceritanya begini, selepas dibebaskan dari tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Tian Chua mahu membuat pengubahsuaian rumah.
Beliau mengupah seorang kontraktor bersama beberapa orang pekerja Indonesia untuk tujuan itu, tetapi selepas melihat keadaan rumah Tian, keris dan topeng di mana-mana, pekerja Indonesia itu memberitahu bossnya, semua barang tersebut perlu dialihkan sebelum kerja dapat dimulakan.
"Pekerja itu kata keris dan topeng itu ada spirit, dan mereka takut untuk bekerja selagi barang itu tidak dialihkan," kata Tian ketawa.
Ditanya apakah beliau mempercayai spirit atau semangat pada keris atau topeng, kata Tian, beliau mempercayainya.
"Saya mengambil pendekatan hidup harmoni bersama unsur lain yang tidak dapat lihat mata kasar, saya mengumpul barang ini bukan bertujuan untuk memanipulasinya seperti sesetengah orang mengumpul keris untuk menambah kewibawaan.
"Saya hormat pada 'spirit' dan kepercayaan orang lain, jadi saya alihkan keris serta topeng itu semasa kerja penggubahsuian dilakukan," cerita Tian.
Pengalaman dalam ISA
Dilahirkan dengan nama Chua Tian Chang, lelaki ini pernah beberapa kali merengkok dalam lokap polis sepanjang pembabitannya sebagai pemimpin parti pembangkang.
Malahan beliau pernah ditahan selama dua tahun di Kem Tahanan Kamunting Taiping Perak mengikut undang-undang ISA.
Berdasarkan cerita yang saya dengar mengenai tahanan ISA kerana kes reformasi, dari 10 orang, ada tiga yang disifatkan paling keras dan enggan bekerjasama. Pertama bekas Ketua Pemuda PKR Mohamad Ezam Mohd Nor, bekas ahli MPT Saari Sungib dan Tian Chua yang juga merupakan Naib Presiden parti pembangkang itu semasa ditahan ISA.
Menurut Tian, beliau mempunyai kaedah tersendiri untuk 'berkomunikasi' dengan dunia luar semasa ditahan selama dua tahun itu.
"ISA bertujuan memisahkan kita dengan dunia luar, jadi membaca sesebuah buku adalah cara atau medium untuk mengingatkan kita bahawa kita masih ada hubungan dengan dunia luar,"
Semasa ditahan juga, Tian giat belajar bahasa Arab bersama rakan-rakannya. Berguru dengan bekas Pensyarah UIA, Dr Badrul Amin, bagi Tian mempelajari bahasa asing mempunyai kenikmatan yang tersendiri.
"Saya belajar mukaddam, untuk memperkuat sebutan bahasa Arab saya," katanya.
Selain itu, Tian juga melukis dan menghantar surat kepada rakan-rakannya di seluruh dunia. Beliau menghabiskan masa 'bertapa' itu untuk memperkukuhkan jaringan hubungan antarabangsa yang dibinanya sejak zaman menjadi aktivis pelajar lagi.
Hobi ganjil, pelihara musang
Di rumah dua tingkat milik Tian Chua itu, selain koleksi keris, kain pua dan topeng, ada juga sudut kecil terletak akuarium bersaiz sederhana.
Bezanya adalah jenis ikan yang dipelihara Tian, jika orang Cina lain suka membela iklan jenis kelisa yang dipercayai membawa tuah, Tian lebih senang memelihara iklan keli.
"Ia mengingatkan saya kembali kepada nostalgia kehidupan di kampung berpuluh tahun lalu, ketika ikan keli, haruan, sepat dan lain-lain mudah diperolehi di kawasan sawah," ujarnya.
Selain ikan, Tian juga memelihara seekor musang, panjang badannya hampir sekaki, agak liar dan menakutkan bagi orang seperti saya.
Tapi tidak bagi Tian, musang itu dijaga dan dibiarkan berjalan di atas bahunya seperti haiwan peliharaan yang jinak.
Dan musang ini diberi makan betik dan pisang. Dibeli di Pasar berhampiran Kampung Baru waktu malam. Satu ringgit satu kilo, murah.
Kata Tian, musang berusia dua tahun itu asalnya dijumpai di atas jalanraya pada malam hari ketika melalui kawasan kampung selepas pulang dari ceramah.
"Masih kecil ketika itu, ia seperti hilang ibunya dan kebetulan malam itu hujan lebat sekali, saya ambil dan bawa pulang, dan kini sudah setahun lebih tinggal bersama saya," katanya.
Nota pengarang:
SEMPENA tahun ketiga KLpos.com memainkan peranan dalam menyampaikan berita dan rencana-rencana alternatif di arena siber tanah air, hari ini kami menyiarkan kembali temubual-temubual eksklusif kami dengan individu-individu penting beberapa tahun lalu.
Di awal kemunculan kami beberapa tahun lepas kami telah menemubual tokoh-tokoh muda serta berjaya yang kini rata-ratanya telah menjadi wakil rakyat baik sebagai ahli parlimen mahupun ahli dewan undangan negeri sejak keputusan luarbiasa berlaku pada pilihanraya kecil ke-12 8 Mac lalu.
KLpos.com akan menyiarkan kembali satu episod setiap hari siri eksklusif kami yang disusun semula untuk pembaca yang ketinggalan mengikutinya dahulu. - Pengarang

HULUBALANG Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua

JINAK... Aksi Tian bersama musang kesayangannya Mimi, jam 3.00 pagi

JINAK... Aksi Tian bersama musang kesayangannya Mimi, jam 3.00 pagi

JINAK... Aksi Tian bersama musang kesayangannya Mimi, jam 3.00 pagi

JINAK... Aksi Tian bersama musang kesayangannya Mimi, jam 3.00 pagi

Lencong atau keris Acheh dibentuk berdasarkan kalimat ALLAH

Alat musik ini namanya Tambura berasal dari Xinjiang China, dimankan oleh orang Uygur, Uzbek, Kazak.

Buku menunjukkan minat pemiliknya...

Buku menunjukkan minat pemiliknya...

Topeng di tangga rumah..









