Mar 12, 2010      RSS Berita Terbaru      Sertai kami dalam Facebook     
    Carian:  

Berita Terbaru


Hantar ke Facebook    Cetak    Beritahu Kawan

Eksklusif 05: Melihat dari kacamata sahabat

10 Aug 2009 8:33AM

Oleh Wartawan klpos.com 

INI cerita panglima muda, dan bagaimana mereka berperang bagi mempertahankan, bukan raja, tetapi rakyat dan negaranya. Ia disebut dalam Hikayat Tiga Negara, atau yang kita kenal hari ini sebagai Romance of Three Kingdoms atau sānguó yǎnyì.

Kisahnya begini; ketika angkatan tentera Wei merampas Jieting daripada kerajaan Shu. Angkatan tentera Wei di bawah pimpinan Sima Yi terus mara menyerang Kota Barat, lokasi yang strategik, tapi tidak dilindungi kerana kerajaan Shu kekurangan tentera.

Panglima muda Shu, Zhuge Liang tahu sekiranya Kota Barat ditawan, seluruh pemimpin angkatan tentera Shu akan lemah semangat dan meletak senjata, panglima muda itu terfikir tentang muslihat. Di saat-saat itu, hanya muslihat pintar yang mampu menyelamatkan sebuah kerajaan (baca: parti)

Dan Zhuge Liang memang boleh diharapkan, ia tahu, ia berdepan dengan Jeneral Sima Yi, panglima besar dengan angkatan tentera yang hebat, seorang pakar peperangan yang amat berhati-hati (was-was) ketika menyerang.

Zhuge Liang mengarahkan tenteranya yang kecil dan lemah, bersama-sama penduduk Kota Barat meninggalkan kediaman masing-masing. Kota itu dikosongkan, dan mereka semua berlindung di sebuah gunung berhampiran.

Tatkala Sima Yi tiba, perisiknya memberitahu tentang kota yang kosong, tanpa penghuni, sunyi dan sepi. 

Jeneral besar yang sudah menempuh beratus peperangan itu curiga. Pasti ada sesuatu yang menunggu di sana. Ia kemudiannya mengarahkan bala tenteranya patah balik dan berkhemah 13 batu jauhnya dari Kota Barat.

Tindakan itu memberikan masa yang cukup untuk Zhuge Liang menunggu bantuan tiba dan selebihnya menjadi sejarah.

Apa yang mahu saya sentuh di sini, adalah, kebijaksana panglima muda bernama Zhuge Liang. Pada yang membaca Sun Tzu, The Art of War, taktik itu dinamakan 'Kelompongan dan Kenyataan'. 

Kelompongan adalah 'yin', iaitu sesuatu yang palsu, dan kenyataan adalah 'yang', sesuatu yang benar. Ada tindakan yang nampak lemah pada awalnya, tetapi ini hanyalah bertujuan memperdaya musuh.

'Rancangan kota kosong' menjelaskan bagaimana panglima muda Zhuge Liang mencipta 'kelompongan' yang seolah-olah mengambarkan sokongan padu dan memperdaya tentera Sima Yi. Ia taktik yang berbahaya tetapi berhasil.

11

KETIKA beberapa teman bertanya, "apa masalah dengan PKR", saya diam, payah untuk dijawab soalan umum begitu.

Tambahan pula, saya bukan ahli PKR, pernah satu ketika, lama dulu, bekas ketua pemuda parti itu, Mohamad Ezam Mohd Nor mengumumkan perlantikan saya sebagai exco pemuda.

Hanya bertahan beberapa jam, kerana saya jelaskan kepada Ezam, "Saya bukan ahli, bagaimana hendak jadi exco?".

Ketika kecoh-kecoh orang keluar PKR, saya meletak jawatan sebagai orang nombor dua di akhbar milik PKR.

Beberapa teman datang, merisik jika saya juga akan sertai mereka yang keluar parti. Jawapannya sama, "Saya bukan ahli mengapa hendak keluar parti?"

Jika saya ada menyimpan rasa sayang pada PKR, ia merupakan sayang yang sunyi, jika ada yang mahu dipertahankan, pada saya, bukan pemimpin tapi perjuangannya. 

Saya memilih untuk bersama Gerakan Demokrasi dan anti Korupsi (Gerak) sebagai koodinator media (sukarela).

111 

MENGENALI anak muda seperti Nik Nazmi, Nurul Izzah, Sim Tze Tzin dan ramai lagi seperti mereka, saya percaya PKR punya masa depan yang cerah. Anak muda seperti ini, kata Soekarno, boleh membantunya mengalihkan gunung.

Masa untuk perubahan bukanlah slogan semata-mata. Ia perlu diterjemahkan dengan kerja kuat, tekad, azam dan lebih penting dari semuanya adalah kepercayaan.

Kepercayaan bahawa apa yang diperjuangankan bukan sesuatu yang sia-sia. Bahawa perubahan yang dijanjikan nanti adalah untuk rakyat dan negara.

Ia jalan yang sukar, dan berduri tetapi telah dipilih, maka harungilah. Barangkali orang seperti saya tidak cukup kuat untuk bersama, tapi kami hantar dengan doa-doa. Semoga ada sinar di hujung terowong. Semoga ada cahaya selepas gelita.

1111

PESAN Sun Tzu, kepung musuh jika tentera anda sepuluh kali ganda. Serang jika lima kali ganda. Pisahkan musuh jika kekuatan tentera kita hanya dua kali ganda. Jika sama kuat, serang dengan memilih medan pertempuran. Jika sedikit pastikan tentera kita dapat berundur.

Perkara pertama dalam perang adalah patahkan strategi musuh, kedua, pecahkan perikatan mereka. Ketiga, serang angkatan tenteranya. Dan keempat, jika boleh dielak, adalah mengepung kotanya.

Ada lima tanda kemenangan, pertama; pemimpin yang tahu bila ia hendak menyerang dan bila hendak bertahan. Kedua, pemimpin yang arif dengan kekuatan dan kelemahan lawan. 

Ketiga, pemimpin yang pengikutnya mempunyai matlamat yang jelas. 

Keempat, pihak yang bersiap sedia dan menanti musuh yang belum cukup bersedia akan menang, dan kelima, pemimpin yang panglimanya berkebolehan dan dia sendiri tidak menganggu percaturan mereka.

Ada tiga tanda kekalahan; pertama, mara ketika tidak bersedia, berundur ketika sepatutnya mara. 

Kedua, pemimpin yang masuk campur dalam urusan pegawai-pegawainya sehingga membinggungkan mereka. Ketiga, pemimpin yang tidak mengetahui medan pertempurannya.

Pesan Sun Tzu lagi, amalkan muslihat, apabila mampu menyerang, pura-pura tidak berupaya, ketika giat menyusun bala tentera, pura-pura leka, apabila dekat dengan musuh, buatkan seolah-olah anda berada jauh, apabila jauh, buat seperti dekat dengannya.

Serang sepantas angin, tapi mara perlahan-lahan, apabila menyerbu jadilah seperti api, apabila bertahan jadilah seperti gunung. Jauhilah musuh yang semangat juangnya tinggi, serang tatkala mereka rindukan kampung halaman.

Dan akhirnya, "Oleh sebab suara tidak dapat didengari ketika berperang, maka gendang dan gong diperlukan, oleh sebab mata tidak dapat melihat dengan jelas, maka bendera dan panji-panji digunakan". Selamat berjaya. NOKTAH.

Nota pengarang:

SEMPENA tahun ketiga KLpos.com memainkan peranan dalam menyampaikan berita dan rencana-rencana alternatif di arena siber tanah air, hari ini kami menyiarkan kembali temubual-temubual eksklusif kami dengan individu-individu penting beberapa tahun lalu.

Di awal kemunculan kami beberapa tahun lepas kami telah menemubual tokoh-tokoh muda serta berjaya yang kini rata-ratanya telah menjadi wakil rakyat baik sebagai ahli parlimen mahupun ahli dewan undangan negeri sejak keputusan luarbiasa berlaku pada pilihanraya kecil ke-12 8 Mac lalu.

KLpos.com akan menyiarkan kembali satu episod setiap hari siri eksklusif kami yang disusun semula untuk pembaca yang ketinggalan mengikutinya dahulu. - Pengarang

 


SIRI akhir.. Melihat dari kacamata sahabat


All the Adviser's Men

Iklan Teks

Ruang iklan untuk disewa. RM1 sehari, RM50 / 60 hari. Maksimum 20 patah perkataan sahaja...