Mar 12, 2010      RSS Berita Terbaru      Sertai kami dalam Facebook     
    Carian:  

Berita Terbaru


Hantar ke Facebook    Cetak    Beritahu Kawan

Faisal Tehrani muncul lagi dengan 'Kopitiam Ghadir'

24 Jul 2009 3:52PM

ANTARA 8 hingga 11 Ogos ini Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani (penerima Anugerah Seni Negara 2006 dari kerajaan Malaysia) akan kembali mengarah sebuah pementasan yang berjudul Kopitiam Ghadir.

Pencapaian Faisal dalam bidang drama, tidak dapat dinafikan memandangkan beliau pernah menghasilkan beberapa naskah bermutu seperti Rintih Chicago (memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97) Angin Madinah (memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran Yayasan Pelajaran Islam Malaysia-DBP dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000-2001).

Selain teater MISI yang menempatkan namanya dalam dunia pentas Faisal juga pernah dicalonkan untuk Anugerah Cameronian Award 2003 bagi kategori skrip drama Melayu terbaik menerusi drama Monsopiad dan lain-lain Cerita yang dipentaskan pada 5-7 Disember 2003 di Esplanade Singapura.

  Tahun lalu naskah 2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun tulisan beliau menerima perhatian besar dari ramai pengulas dan pengkritik teater tanahair. majalah Pentas Disember 08 terbitan Istana Budaya menamakan pementasan itu sebagai ‘monumental’.

Ketika dihubungi oleh KL POS, Faisal menjelaskan teater Kopitiam Ghadir yang bakal dipentaskan ini akan menampilkan sekumpulan anak muda menerusi grup nasyid Revolusi Pembudayaan Selawat. “Mereka sebenarnya adalah bekas penyanyi "band indie" yang kini turut menyertai saya dalam gagasan  ’memasjidkan seni’.

Drama ini sepanjang satu jam lima belas minit dan akan disisipkan enam buah lagu tentang Rasulullah saw. Memandangkan kita dalam bulan Syaaban yang mulia, kami kira inilah masanya kita merenungi kembali ketamaan baginda sebagai penghulu segala rasul.”

Drama pentas berjudul ‘Kopitiam Ghadir’ ini mengisahkan seorang lelaki yang tersesat ke sebuah kota misteri dan terpaksa singgah di sebuah kafe untuk bertanyakan arah. Di situ beliau bertemu dengan sekumpulan pemuda aneh yang asyik menyanyikan pelbagai rentak lagu nasyid.

Lelaki tersebut berbual-bual mengenai Rasulullah saw dan keutamaan baginda sebelum membuat keputusan samada untuk menetap di kota kecil tersebut, atau keluar pulang ke tempat asalnya.

Sebagai penulis naskah Faisal memberitahu Kopitiam Ghadir terilham ketika beliau menunaikan haji hujung tahun lalu. “Ketika berada di Madinah saya berasakan masih ramai dalam kalangan kita mencari-cari petunjuk dan pedoman. Peristiwa serangan Zionis ke atas Gaza membuatkan saya menggali semakin dalam siapakah pemimpin kita yang sebenar iaitu Rasulullah saw.”


Luqman Hisyam Che Mazlan, selaku pengurus produksi drama ini pula menjelaskan komposer untuk lagu-lagu nasyid dalam pementasan Kopitiam Ghadir ini ialah Mohd Iswan Mohd Isa pelajar Fakulti Muzik UITM Shah Alam.

Iswan memberitahu KLPOS beliau teruja dapat membuktikan bakat dan kreativiti beliau dalam persembahan ini. “Lagu-lagu nasyid persembahan Revolusi Pembudayaan Selawat berentak irama tradisional. Saya percaya penonton yang hadir pasti terhibur dan terkesan Insya-Allah.”

Antara pelakon yang akan membintangi Kopitiam Ghadir ini ialah saudara Faizal Jin, saudara Amir Hamzah, saudara Hilmi bin Alham, dan saudara Faizal XOD.

Teater Kopitiam Ghadir akan berlangsung antara 8-11 Ogos 2009 bermula pukul 9 malam di Dewan Bahasa dan Pustaka (Balai Budaya Tun Syed Nasir: bangunan lama DBP). Tiket HANYA RM 10. Tempahan tiket boleh dibuat mulai sekarang melalui pengurus produksi saudara Luqman Hisyam di nombor 012 2335263.

Untuk maklumat lanjut sila ke: http://tehranifaisal.blogspot.com


Kopitiam Ghadir ini mengisahkan seorang lelaki yang tersesat ke sebuah kota misteri dan terpaksa singgah di sebuah kafe untuk bertanyakan arah





Iklan Teks

Ruang iklan untuk disewa. RM1 sehari, RM50 / 60 hari. Maksimum 20 patah perkataan sahaja...