Hantar ke Facebook
Cetak
Beritahu Kawan
Karim buat MU 'melopong', yakin dengan Real
03 Jul 2009 8:43AMPARIS: Penyerang Perancis, Karim Benzema, bersetuju menyertai Real Madrid daripada Olympique Lyon, demikian menurut kedua-dua kelab itu kelmarin.
Benzema, 21 tahun, merupakan pemain terkemuka ketiga menyertai Real selepas bintang Brazil, Kaka, daripada AC Milan, dan pemain sayap Portugal dan Manchester United, Cristiano Ronaldo.
Real dan Lyon bersetuju mengenai yuran pemindahan yang dikatakan menjangkau 41 juta euro dan Benzema akan menandatangani kontrak enam tahun selepas menjalani ujian perubatan.
'Kami perlu membuat keputusan segera dan memutuskan untuk membenarkan Karim ke kelab yang disukainya,' jurulatih Lyon, Claude Puel, memberitahu para wartawan.
'Ini adalah keputusan penting baginya dengan setahun lagi menjelang Piala Dunia,' tambah Puel.
'Kami kehilangan seorang penyerang yang berkualiti tinggi dan kami tahu betapa Lyon terhutang budi kepadanya.
'Tetapi beliau perlukan cabaran baru dan saya percaya beliau cukup gagah untuk menghadapinya.'
Benzema, yang membantu Lyon menjuarai Liga Perancis empat musim berturut-turut dari 2005 hingga 2008, pernah menyatakan hasratnya mahu kekal bersama kelab Perancis ini sekurang-kurangnya semusim lagi.
'Beberapa hari lalu, Karim Benzema memberitahu presiden (Lyon) JeanMichel Aulas mengenai hasratnya untuk menyertai kelab Madrid, kelab yang menjadi pilihannya selepas Lyon, lebih cepat daripada yang beliau rancangkan,' kata juara Perancis tujuh kali itu dalam kenyataan di laman web kelab tersebut.
Dengan ini, Real telah membelanjakan sekitar 215 juta euro selepas membayar 93 juta untuk Ronaldo, 67 juta untuk Kaka dan 15 juta pula bagi pemain pertahanan, Raul Albiol.
'Pemain ini mahu mengambil peluang yang ditawarkan oleh Real Madrid sebagai faktor utama untuk memenuhi impian menjadi kelab terkemuka, di samping beberapa pemain terkemuka dunia,' tambah kenyataan Lyon itu.
Dengan gabungan kekuatan, kepantasan dan kecekapannya - tidak seperti Ronaldo dari Brazil yang merupakan idolanya semasa kecil - Benzema menjadi buruan beberapa kelab terkemuka Eropah, termasuk Manchester United.
Dilahirkan dalam keluarga berbangsa Algeria, Benzema menyerlah sejak zaman belia dan membuat penampilan pertama dalam Liga Satu Perancis ketika berusia 17 tahun pada 2005.
Musim terbaiknya ialah pada 2007/2008 di mana beliau muncul sebagai penjaring utama Liga Satu dengan 20 gol. Lyon turut memenangi Piala Perancis untuk menjadi juara berganda pada musim tersebut.
Pemain dalam skuad Perancis yang menjadi juara Kejohanan Eropah Bawah 17 Tahun 2004 bersama-sama dengan bintang Arsenal, Samir Nasri, Benzema menyumbatkan enam gol dalam 24 penampilan bersama pasukan Perancis tetapi belum lagi memenuhi potensinya pada peringkat antarabangsa.
Benzema menaruh impian untuk mengikut jejak seorang lagi pemain berketurunan Algeria, Zinedine Zidane, yang merupakan antara legenda Real dan kini menjadi penasihat kepada pengerusi kelab gergasi Sepanyol itu, Florentino Perez.
Bagaimanapun, beliau terpaksa berjuang untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama Real yang mempunyai ramai pemain penyerang berbakat. / Reuters

Real dan Lyon bersetuju mengenai yuran pemindahan yang dikatakan menjangkau 41 juta euro









