Mar 12, 2010      RSS Berita Terbaru      Sertai kami dalam Facebook     
    Carian:  

Berita Terbaru


Hantar ke Facebook    Cetak    Beritahu Kawan

Warkah Terakhir: Bila Beto Kusyairy jadi Rosli Dhoby

30 Jun 2009 10:54PM

Oleh Shakilawati Abd Rahman

KEMAMPUANNYA terbukti dalam siri yang mengangkat kisah hidup pejuang remaja Sarawak, Rosli Dhoby yang dihukum gantung kerana membunuh gabenor British di Sibu, Duncan George Stewart.

Dibarisi ramai pelakon hebat, antaranya Rambhli Hassan, Sherry Merlis, Nam Ron, Shahrolnizam, Melissa Maureen dan Anita, Beto cukup menyerlah. Tenang dan bersahaja, seolah-olah cerita dipaparkan itu kisah hidupnya.

Meskipun menerima banyak pujian daripada pelbagai pihak, Beto tidak sedikitpun mendabik dada, malah menyifatkan masih banyak perlu dipelajari demi kelangsungan kariernya.

“Alhamdulillah, siri ini mendapatkan maklum balas yang sangat baik. Pujian diberi bukan saja daripada aspek lakonan, tapi penceritaan, pencahayaan, skor muzik dan props.

“Ini drama kedua saya bersama KL Motion selepas Lima. Saya selalu main futsal dengan kakitangan produksi ini dan daripada situ mereka bercerita mahu menghasilkan mini siri Rosli Dhoby dan mahu tawarkan watak pejuang kemerdekaan Sarawak itu kepada saya.

“Mulanya saya ingat mereka bergurau, maklumlah ini kisah sejarah. Pengorbanan pejuang kemerdekaan Sarawak itu sangat besar, mustahil watak itu diberi kepada saya.

“Bila mereka minta saya baca skrip, baru saya pandang serius kata-kata mereka,” kata anak jati Kuala Lumpur ini.

Beto menjelaskan, pertama kali membaca skrip, air matanya mengalir. Terasa karektor itu cukup dengan jiwanya hingga terbit rasa kagum dengan semangat dan pemikiran anak muda itu yang jauh lebih matang dari usia sebenar.

Bagi Beto, bukan mudah membawa watak sejarah dan kerana itu dia mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai Rosli daripada produksi, selain melayari Internet dan membaca.

Dia turut mengikuti kelas latihan dan bahasa Sarawak yang disediakan produksi selama tiga bulan bersama barisan pelakon lain.

“Saya bersyukur kerana projek ini mendapat kerjasama anak saudara dan sepupu Rosli iaitu Bol Hassan dan Tahar Jhonni. Mereka sanggup turun ke lokasi untuk memberi maklumat tepat mengenai pejuang Sarawak itu. Mereka bertanggungjawab memantau persembahan saya supaya sama seperti karektor sebenar Rosli.

“Tidak dinafikan ada penambahan watak dalam siri ini untuk nampak lebih berwarna dan dramatik, tapi ia dengan kebenaran keluarga Rosli. Watak Tajuddin dan Norian misalnya, mereka tidak wujud dalam kisah sebenar.

“Saya seronok berbual dengan Pak Tahar dan Bol Hassan. Menurut mereka, sahabat karib Rosli iaitu Seman masih hidup. Begitu juga kekasih Rosli, Hajah Ani. Hati saya tersentuh apabila mengetahui Hajah Ani belum berumah tangga kerana memenuhi janji mahu menunggu Rosli,” katanya yang turut memaklumkan penggambaran yang mengambil masa 48 hari itu dilakukan di Ipoh dan 20 peratus di Penjara Pudu, Kuala Lumpur.

Bercerita babak paling mencabar, Beto berkata, dia perlu melakonkan Rosli digantung dan bagaimana reaksi Rosli apabila dipujuk ibunya supaya mendedahkan rahsia Rukun 13. Biarpun sekadar lakonan, babak itu menusuk tangkai hatinya.

“Hanya Tuhan tahu perasaan saya ketika melakonkan dua babak ini. Lebih-lebih lagi rayuan Habibah (lakonan Sherry Merlis) di penjara yang berharap sangat Rosli dibebaskan dan pulang ke pangkuan keluarga.

“Meskipun tidak sampai hati mengecewakan ibunya, Rosli tetap berkeras tidak melanggar perjanjian Rukun 13. Saya hanya melafazkan dua baris dialog, selebihnya monolog Sherry. Babak ini dapat disaksikan dalam episod akhir,” katanya.

Mengimbas pembabitan Beto dalam industri, dia bermula sebagai kru seawal usia 15 tahun. Kemahiran ilmu persilatan dan ‘kick boxing’ memberi kelebihan kepadanya untuk muncul sebagai pelakon lagak ngeri untuk beberapa drama dan filem, antaranya Bilut dan Cicakman.

Selepas diyakinkan oleh buah hati yang kini bergelar isterinya, Beto muncul di depan kamera pada 2003 dan banyak bekerja dengan Erma Fatima.

Antara drama pernah dibintangi adalah Lorong Neraka, Mas Kahwin, Durani dan Kekasihku Seru, manakala filem pula Syaitan serta Kami The Movie.

“Sebelum ini saya banyak diberi watak antagonis. Syukur, selepas beberapa tahun dalam industri, saya mula mendapat kepercayaan muncul sebagai pelakon utama.

“Rosli Dhoby permulaan yang bagus dan saya akan melipatgandakan usaha supaya terus diterima. Lagipun usia saya mencecah 29 tahun, saya tidak boleh main-main lagi,” katanya yang tidak memburu populariti.

Terbaru, aktor berbakat besar ini sibuk di lokasi penggambaran untuk slot Suatu Ketika, berjudul 10 yang diinspirasikan daripada kisah legenda bola sepak negara, Mokhtar Dahari.

Menerusi drama terbitan Popiah Pictures ini, Rosli sekali lagi berpeluang menggalas watak utama sebagai Mokhtar.

“Saya difahamkan, nama Mokhtar akan digantikan dengan Riduan kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Saya sangat berbesar hati diberi peluang melakonkan watak ini, apatah lagi saya memang peminat Mokhtar.

“Jauh di sudut hati terselit juga perasaan bimbang dengan penerimaan penonton, khususnya pengikut setia Mokhtar, tetapi saya akan berusaha memberikan persembahan terbaik,” katanya yang akan bergandingan dengan Cheryl Samad, Anding, Norman Hakim dan Radhi Khalid. / *myMetro

Foto: Facebook Bolhassan Ainnie Dhoby

 


Beto (duduk tengah) bersama-sama para pelakon yang membawa watak ahli Rukun 13


Beto menjelaskan, pertama kali membaca skrip, air matanya mengalir


Penggambaran yang mengambil masa 48 hari itu dilakukan di Ipoh dan 20 peratus di Penjara Pudu


Projek ini mendapat kerjasama anak saudara dan sepupu Rosli iaitu Bol Hassan dan Tahar Jhonni

Iklan Teks

Ruang iklan untuk disewa. RM1 sehari, RM50 / 60 hari. Maksimum 20 patah perkataan sahaja...