Mar 12, 2010      RSS Berita Terbaru      Sertai kami dalam Facebook     
    Carian:  

Berita Terbaru


Hantar ke Facebook    Cetak    Beritahu Kawan

Bangunan runtuh di PJ: Siasatan bermula semalam

02 Jun 2009 3:13PM

PP: Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama beberapa agensi lain memulakan siasatan terhadap punca runtuhan bangunan pusat beli belah Jaya, di Seksyen 14 Petaling Jaya yang meragut tujuh nyawa.

Menteri Sumber Manusia, Datuk S Subramaniam hari ini, berkata pegawai dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Kementerian Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk menyelesaikan siasatan meliputi pelbagai aspek itu.

Siasatan yang bermula semalam itu juga bertujuan mengenalpasti sama ada terdapat faktor kecuaian atau kegagalan mematuhi mana-mana prosedur daripada pihak jurutera, kontraktor atau pemilik bangunan termasuk cara bangunan itu diroboh, katanya selepas merasmikan Pesta Latihan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), di sini.

Beliau berkata, maklumat awal mendapati pihak yang mengendalikan kerja meroboh satu daripada blok bangunan pasar raya itu memulakan kerja berkenaan sebelum mendapatkan kebenaran daripada DOSH terlebih dulu.

"Difahamkan mereka memulakan kerja itu sebaik mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan sedangkan mereka juga perlu mendapatkan kebenaran daripada DOSH sebelum memulakan sebarang kerja berkenaan," katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, bangunan pusat beli belah setinggi enam tingkat itu runtuh ketika pekerja binaan sedang menjalankan persediaan sebelum merobohkan satu daripada bloknya.

Subramaniam berkata, jika siasatan itu mendapati berlaku kecuaian daripada mana-mana pihak, mereka boleh dikenakan denda RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi setiap kesalahan yang dilakukan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Sementara itu, Subramaniam berkata, kementerian akan meminda akta berkenaan bagi memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap golongan profesional yang gagal mengendalikan sesuatu projek dengan baik.

"Kita mahu golongan profesional, contohnya, jurutera, supaya lebih bertanggungjawab terhadap projek yang dikendalikannya dan mematuhi segala syarat yang ditetapkan terutamanya membabitkan isu mekanisme keselamatan," katanya.

Beliau berkata, pindaan akta itu baru saja di peringkat awal perangkaannya dan ia dijangka mengambil masa setahun untuk disiapkan sebelum dibentang di Parlimen. / Bernama



Iklan Teks

Ruang iklan untuk disewa. RM1 sehari, RM50 / 60 hari. Maksimum 20 patah perkataan sahaja...