Hantar ke Facebook
Cetak
Beritahu Kawan
Rober Kuok kekal 'bilionair' terkaya di Malaysia
29 May 2009 10:27AMTAN Sri Robert Kuok, peneraju Kumpulan Kuok, kekal sebagai rakyat Malaysia terkaya tahun ini walaupun nilai bersih kekayaannya merosot.
Nilai bersih jutawan itu mencapai AS$9 bilion berbanding AS$10 bilion setahun lalu, demikian menurut Senarai Terkaya Forbes Asia Malaysia 2009 yang didedahkan semalam.
Dalam satu kenyataannya semalam, Forbes berkata Kuok menduduki tempat itu setiap tahun sejak Forbes Asia memulakan penyenaraian 40 rakyat Malaysia terkaya pada 2006.
Ahli perniagaan Tan Sri Ananda Krishnan menduduki tempat kedua dengan nilai bersih mencapai AS$7 bilion, juga merosot berbanding AS$7.2 bilion pada tahun lalu, mengekalkan penyenaraian yang sama setiap tahun sejak 2006.
Secara bersama, harta kedua-dua jutawan itu membentuk 44 peratus daripada kekayaan 40 rakyat Malaysia terkaya.
Mereka juga individu terkaya di Asia Tenggara.
Rakyat Malaysia ketiga terkaya ialah Tan Sri Lee Shin Cheng, ketua Kumpulan IOI, salah satu peneraju pengendali ladang kelapa sawit terbesar dunia. Beliau bernilai AS$3.2 bilion, turun daripada AS$5.5 bilion tahun lalu tetapi mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga.
Secara keseluruhan, 40 rakyat Malaysia terkaya itu mempunyai nilai aset mencapai AS$36 bilion, merosot daripada AS$46 bilion setahun lalu.
Menurut Forbes, kemerosotan 22 peratus kekayaan itu sebahagian besarnya sejajar dengan penurunan 21 peratus dalam Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI). Ia tidak seteruk yang dijangka, jika diambil kira ringgit Malaysia yang merosot 10 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat, nilai mata wang yang digunakan bagi ukuran itu.
Empat jutawan menyertai semula kumpulan itu selepas terkeluar selama setahun atau lebih.
Antara mereka ialah Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir (tempat ke-37, AS$100 juta) dan Tan Sri Tan Teong Hean (tempat ke-39, AS$95 juta), yang menjual saham Southern Bank beberapa tahun lalu dan kini membuat pelaburan baru.
Terbitan terbaru Forbes Asia turut menonjolkan Tan Sri Francis Yeoh, peneraju konglomerat YTL (tempat ketujuh, AS$1.8 bilion).
Senarai penuh rakyat Malaysia terkaya boleh diperolehi dalam terbitan 8 Jun Forbes Asia, yang boleh dibeli di kedai-kedai buku.










