Mar 14, 2010      RSS Berita Terbaru      Sertai kami dalam Facebook     
    Carian:  

Berita Terbaru


Hantar ke Facebook    Cetak    Beritahu Kawan

Kemelut yang tak berkesudahan

13 May 2009 10:31AM

Oleh Darwis Said

KEMELUT politik akan terus mencengkam Perak.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi semula jawatan Menteri Besar Perak kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kelmarin, sudah tentu mengundang pertikaian dan kritikan daripada pihak yang gagal.

Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, pengganti jawatan Datuk Seri Mohammad selama 96 hari sejak 6 Februari lalu, segera memfailkan rayuannya di Mahkamah Rayuan KL semalam.

Mahkamah Rayuan pula membenarkan permohonan Dr Zambry menangguhkan keputusan laksana Datuk Seri Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah serta mendengar rayuan beliau secepat mungkin.

Jelas, keputusan Mahkamah Tinggi, yang menjadi satu tamparan hebat kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan barisan pemimpinnya di BN sejak beliau menyandang jawatan itu pada awal bulan lalu, belum lagi dapat menentukan arah masa depan politik di Perak.

Jika di sebelah paginya Datuk Mohammad Nizar dan exconya merancang mengisi semula pejabat sekretariatnya berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi mereka terpaksa mengosongkannya semula pada sebelah petang menyusuli keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Tanda-tanda menunjukkan bahawa krisis politik di Perak masih gagal dihuraikan.

Ekoran rentetan peristiwa semalam, para pengamat politik seperti Zamil Pelawat Kanan Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas) di Singapura, Dr Johan Savaranamuthu. menjangkakan tiga senario yang boleh berlaku di Perak.

Pertama, institusi diraja Perak - dalam hal ini Sultan Perak sendiri - boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengadakan satu pilihan raya baru bagi menentukan pihak mana yang layak memerintah Perak, seperti usul yang mahu dikemukakan oleh Datuk Mohammad Nizar selepas keputusan Mahkamah Tinggi kelmarin.

Ini bermakna Sultan Azlan akan menjadi kunci kepada huraiannya.

Kedua, Sultan Perak boleh mengarahkan supaya diadakan sidang DUN tergempar untuk menjalankan 'undian yakin atau tidak yakin' terhadap Datuk Mohammad Nizar seperti yang disebut oleh Mahkamah Tinggi perihal pelaksanaan Artikel 16 (6).

Sekali lagi Sultan Azlan menjadi kunci penyelesainya, dan

Ketiga, pihak Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan yang dibuat oleh Dr Zambry terhadap perlaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi dan kemudiannya membuat keputusan menentukan siapakah menteri besar Perak yang 'sah'.

Dalam hal ini, mahkamah menjadi penentunya. Jika keputusan Mahkamah Rayuan tidak berpihak kepada Datuk Mohammad Nizar, beliau masih boleh merujuk kes itu kepada Mahkamah Persekutuan.

'Dari sudut pandangan saya sebagai seorang pakar politik, saya percaya Sultan, sebagai ketua negeri, mempunyai budi bicara mutlak untuk memutuskan perkara itu,' kata Dr Johan, semasa dihubungi semalam.

Namun, walaupun kesudahan kepada kerumitan politik yang membelenggui Perak itu masih jauh daripada garisan penamatnya, apa yang lebih penting ialah bagi semua pihak terbabit melihat ke arah kemaslahatan rakyat negeri itu sendiri.

Suara manakah yang mahu didengar oleh institusi-institusi politik negeri itu?

Suka atau tidak, inilah peluang bagi institusi diraja, BN dan PR untuk memulihkan suasana kemelut politik di Perak sejak ia tercetus seawal lewat tahun lalu.

Apakah rakyat Perak sahaja yang mampu menentukan kerajaan mana yang bakal disokong mereka?

Apakah sudah tiba masanya bagi institusi-institusi politik di Perak - termasuk institusi diraja - mengiktiraf dan mendengar sepenuhnya laungan kematangan rakyat Perak dalam satu suasana demokrasi baru?

Yang jelas, 'wabak' penyakit politik yang menyesakkan dan mengganggu gugat kestabilan di negeri yang kaya dengan bijih timah itu harus diatasi segera - sebelum sebelum ia menjadi satu 'wabak' yang lebih besar lagi pada masa depan. / BHS



Apa yang lebih penting ialah bagi semua pihak terbabit melihat ke arah kemaslahatan rakyat negeri itu sendiri

Iklan Teks

Ruang iklan untuk disewa. RM1 sehari, RM50 / 60 hari. Maksimum 20 patah perkataan sahaja...