Mar 14, 2010      RSS Berita Terbaru      Sertai kami dalam Facebook     
    Carian:  

Berita Terbaru


Hantar ke Facebook    Cetak    Beritahu Kawan

Harapan sasterawan muda kepada Najib

04 Apr 2009 9:49PM

Oleh: Faisal Tehrani 

Saya masih ingat pertama kali bertemu dengan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mei 2004 di Hotel Mutiara, Kuala Lumpur. Beliau sentiasa tersenyum dan sempat bertanya kepada saya, "Novel 1511H Kombat ini novel futuristik?"

Saya menjawab sepatah, "Ya."

"Ada perang?"

"Ya." Balas saya lagi.

"Tahniah." Kata beliau lagi. Kemudian beliau melancarkan karya pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003. Dan novel saya adalah salah satu dari karya-karya tersebut. Kalau saya masih berpeluang lagi seperti di atas pentas itu, saya akan menjelaskan kepada beliau; 'Ini kisah sekumpulan anak muda berjihad mempertahankan agama Islam sehingga membawa mereka ke benua Amerika Utara.'

Waktu itu beliau masih 'Timbalan Perdana Menteri'. Hari ini, beliau adalah Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Semoga beliau akan memimpin Malaysia dengan jayanya di sebalik pelbagai dakwaan dan imaginasi 'orang itu'.

Antara harapan saya (kami), beliau akan memansuhkan dasar PPSMI. Ini saya kira wajar kerana beliau perlu meneruskan legasi baik Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang mengemukakan Penyata Razak (1956). Hasil usaha Tun Abdul Razak, melalui Penyata Razak tersebut, telah berjaya menyatukan sistem pelajaran untuk membina satu bangsa yang bersatu padu dengan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, yakni sebagai bahasa penghantar utama.

Yang kita maklum, tujuan Penyata Razak adalah: Menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah; Mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu rumpun bangsa di Tanah Melayu; Mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan; Menyediakan kemudahan pendidikan yang mencukupi untuk melahirkan masyarakat yang berdisplin, terlatih, dan progresif; Mewujudkan sistem pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan berkesan; Mewujudkan masyarakat yang bertoleransi, berdisplin, terlatih , terbuka dan progresif, dan; Memenuhi keperluan negara yang merdeka dan memperkembangkan sistem pendidikan.

Justeru, saya harus mengingatkan beliau yang impian Satu Malaysia telah pun diusahakan dengan sebaiknya oleh bapa beliau.

'Intelek Melayu' akan 'lebih tenang' dari gelora jika kita kembali kepada dasar yang berjaya tersebut. Jika mereka 'menyeberang' menjadi anggota pembangkang seperti PAS tidak apa-apa, itu adalah lazim. Tetapi adalah kerugian besar jika mereka ikut tersihir menjadi liberalis-neo kolonialis mengekor agenda 'orang lain' semata-mata kerana kecewa terhadap dasar pendidikan yang salah.

Kembali kepada karya saya yang beliau lancarkan, panel penilai Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 mengulas novel 1511H Kombat sebagai karya yang memaparkan isu global dan persoalannya dipaparkan secara nonkonvensional.

Menurut laporan lagi, `novel ini dikategorikan sebagai pasca kolonial yang mewujudkan citra oksidentalisme sebagai suatu bentuk penentangan budaya. Fakta sejarah dan kronologi waktu telah dikesampingkan dan dijungkir-balikkan.

Kelebihan pengarang dapat merangsang para remaja untuk lebih imaginatif dengan teknik pemantulan waktu, pengadunan fakta dan fiksyen serta pembauran watak hidup dengan watak fiktif. Begitu juga jalan cerita yang dibina dengan penuh dramatik menimbulkan pelbagai jenis emosi serta adanya unsur-unsur ketegangan sangat menarik perhatian untuk dibaca sehingga ke akhir cerita.'

----

PENULIS adalah penerima Anugerah Seni Negara 2006 oleh kerajaan Malaysia. Blog beliau boleh dilayari di http://tehranifaisal.blogspot.com/

 


Najib tatkala melancarkan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan

Iklan Teks

Ruang iklan untuk disewa. RM1 sehari, RM50 / 60 hari. Maksimum 20 patah perkataan sahaja...