Hantar ke Facebook
Cetak
Beritahu Kawan
Bersama Najib menangani perubahan
19 Mar 2009 1:06PMOleh Helme Hanafi
MEMANG aneh tuah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Pada pilihan raya umum ke 11, BN di bawah kepimpinannya meraih mandat terbesar dalam sejarah BN. Tetapi pada pilihan raya umum ke 12, mencatatkan prestasi terburuk dengan lima negeri di Semenanjung jatuh ke tangan parti pembangkang.
Selaku Presiden UMNO merangkap pengerusi BN, Abdullah akhirnya menerima kesilapannya. Walaupun rekodnya bersih, beliau sering dinilai sebagai pemimpin yang tidak cekap.
Manakala calon pengantinya, Datuk Seri Najib Tun Razak, 55 tahun, sudah diumumkan menang tanpa bertanding jawatan Presiden UMNO. Anak sulung Perdana Menteri kedua Malaysia ini, memulakan kerjaya sebagai ahli politik pada usia usia 23 tahun dan menjadi menteri sembilan tahun kemudian.
Jika tiada aral melintang, Najib akan diumumkan secara rasmi oleh Pengerusi Tetap UMNO mengambil alih kerusi Presiden UMNO pada 26 Mac ini. Dan mengikut jadualnya, Najib akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 5 April.
Menurut Fellow di Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas), Dr Ooi Kee Beng, Najib, seseorang yang ditakdirkan menjadi pemimpin negara kerana ayahnya sangat disanjung tinggi oleh masyarakat Melayu.
“Gambaran itu merupakan aset Najib yang paling berharga buat masa ini,'”.Para pemimpin BN pada keseluruhannya menerima baik kehadiran Najib.Misalnya, pemimpin Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan, berharap BN dengan pimpinan baru akan bertambah kuat dan meraih mandat lebih besar dalam pilihan raya umum kelak.
BAJET MINI ALA OBAMA
Namun, yang amat jelas ialah ujian terhadap Najib untuk mendisiplinkan UMNO dan BN, menangani cabaran Pakatan Rakyat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta mencorak semula ekonomi Malaysia dalam menghadapi kemelesetan dan pandangan negatif pelabur antarabangsa.Beliau baru mengumumkan Bajet Mini berjumlah RM60 bilion untuk mengelak negara terjerumus dalam kemelesetan.
Ada banyak janji yang ditabur bersama wang tersebut. Banyak harapan dan angan-angan baru dipasang oleh majoriti rakyat Malaysia. Beberapa pengkritiknya cuba menyamakan Bajet Mini Najib ala-ala pakej rangsangan ekonomi Presiden Barack Obama.
Biarpun ekonomi merupakan agenda penting kini, namun antara ujian awal Najib ialah menangani politik UMNO itu sendiri. Parti yang diasaskan pada 1946 ini dikatakan kian alpa dengan kejayaannya sehingga disiplinnya kian longgar dan mutu kepimpinannya semakin dipersoal rakyat terutama orang Melayu.
MENDISPLINKAN UMNO/BN
Cabaran besar Najib adalah untuk memperlihatkan UMNO yang dipimpin beliau bukan sahaja bersih tetapi dilihat oleh orang ramai sebagai bersih. Politik persepsi yang kini menjuarai pandangan orang ramai di Malaysia memperlihatkan UMNO sebagai parti yang bergelumang rasuah perlu diperbetulkan.
Masa terbaik bagi Najib untuk membersihkan UMNO adalah sebelum pemilihan ini. Dan mungkinkah ketegasan Lembaga Displin UMNO yang ditunjukkan sehari dua ini membuktikan bahawa Najib serius mahu melakukan perubahan di dalam UMNO.
Barangkali Najib mahukan pasukan yang memimpin UMNO dan Malaysia bersama beliau selepas 5 April ini merupakan pasukan yang diterima sebagai 'penyelamat' parti orang Melayu itu.
Dalam masa yang sama kaum bukan Melayu kian kritikal dan menuntut hak sama rata termasuk meritokrasi. Dan lebih malang lagi, rasa tidak puas hati antara parti komponen dalam BN dilakukan secara terbuka melalui media massa.
Pemimpin parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang tewas teruk pada pilihan raya umum lalu, seharusnya lebih rasional dan tidak hanya menuding jari kepada UMNO, tetapi mereka perlu berusaha memperbaiki imej bagi memulihkan prestasi mereka pada pilihan raya umum akan datang.
Harapan perpaduan untuk terus utuh kini bergantung kepada sejauh mana kesediaan untuk bukan 'mengalah' tetapi bertoleransi, dan semestinya toleransi ini bukan hanya datang dari satu pihak iaitu UMNO atau Melayu saja.
Sebaliknya, semua komponen BN harus bersedia meneruskan sikap toleransi tanpa ada cubaan memprovokasi mana-mana parti komponen semata-mata mahu dilihat sebagai 'juara' bagi kaum masing-masing.
Dan tugas getir Najib sebagai Presiden UMNO sekali gus Pengerusi BN adalah memastikan semua perkara berbangkit dapat ditangani dengan bijak dan cermat. Perkelahian terbuka antara komponen hanya akan memburukkan citra BN di mata rakyat Malaysia.
PASUKAN BARU
Sudah tentu, dalam melaksanakan misi tersebut Najib memerlukan pasukan yang kuat dan berkesan. Penulis kanan The Star, Joselina Tan berpendapat langkah Abdullah mengumumkan pengundurannya sebelum mesyuarat bahagian UMNO membantu mengukuhkan kedudukan Najib membina pasukannya.
Perubahan dalam UMNO dan BN selepas pilihan raya ke 12 lalu memerlukan tindakan bersama, kata Joseline.
“Najib seorang tidak akan berjaya, beliau memerlukan rakan sepasukan yang kuat untuk membawa perubahan tersebut,”jelasnya.
Menurut beliau, pasukan yang kuat itu mestilah merangkumi wajah-wajah baru dalam politik UMNO dan dan Barisan Nasional. “Pemimpin muda yang dinamik, progresif dan bersedia berkorban demi parti dan negara merupakan antara ciri-ciri penting dalam pasukan yang dibina oleh Najib,” katanya.
Dalam melakukan tranformasi, UMNO dan BN di bawah kepimpinan Najib harus sedar akan cita rasa pengundi muda yang kelihatan begitu cenderung ke arah pakatan pembangkang. Dengan ramainya pengundi generasi pasca merdeka yang kini sudah berusia 50 tahun dan ke bawah, serta memiliki keluarga sendiri dilihat cenderung membina satu persepsi yang jauh berbeza daripada perjuangan generasi pengundi veteran.
Generasi warga emas dalam Kabinet dan kepemimpinan parti adalah perlu, namun generasi usia muda serta pertengahan umur juga perlu dimantapkan.
KABINET ORANG MUDA
BN perlu mempertimbangkan jawatan Kabinet dan pentadbiran kerajaan diperuntukkan sebahagiannya untuk mereka yang berumur 30-an hingga 40-an. Fakta menunjukkan bahawa polarisasi pengundi generasi pasca merdeka, yakni pada awal usia mengundi (21 tahun dan ke atas) yang berjumlah jutaan orang, masakan tidak mempunyai potensi yang mampu memikul tanggungjawab itu.
Jawatan seperti Timbalan Menteri bagi sesuatu kementerian seharusnya juga datang dari kalangan generasi pewaris agar mereka mampu mempersiapkan diri ke arah meneruskan agenda negara pada masa akan datang.
Suatu perubahan yang bukan kecil tetapi meluas harus digerakkan segera bagi menyeimbangi kembali ketuanan yang semakin hilang. Dalam beberapa bulan akan datang, UMNO dan BN dengan cepat perlu memenangi hati rakyat Malaysia khususnya golongan muda yang tersepit antara tradisi sokongan politik, tuntutan kontemporari dan tekanan kos sara hidup.
Najib dan pasukannya perlu tampil dengan rumus atau formula yang pragmatik tanpa menjejas makna 'keramat' ketuanan Melayu yang dilambangkan pada institusi raja-raja Melayu.
Apakah Najib lebih cekap sebagai pemimpin dan pentadbir daripada pendahulunya untuk memenangi hati rakyat Malaysia, membina keharmonian kaum dan ekonomi negara?
Masa akan menjadi saksi./Suara Baru

Najib seperti Tun Razak menjadi peneraju ketika keadaan parti dan negara 'tunggang-langgang'






