Hantar ke Facebook
Cetak
Beritahu Kawan
Wanita: Ini komen Najib dari Peru
21 Nov 2008 2:34PMLIMA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa proses pemilihan Ketua Wanita Umno tidak harus menjejaskan perpaduan dalam pergerakan itu.
“Wanita mesti berikhtisas untuk merapatkan barisan secepat mungkin selepas pemilihan dan ini adalah penting sekali,” kata Najib, yang juga Timbalan Presiden Umno, dalam satu sidang akhbar di sini hari Khamis.
Najib, yang berada di sini untuk menghadiri mesyuarat pemimpin-pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan bermula Sabtu ini, berkata proses pemilihan itu mesti mencerminkan kematangan demokrasi dalam parti.
“Dan cara kita berkempen itu mestilah merupakan kempen yang sihat dan bersih,” kata beliau semasa mengulas keputusan Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk merebut jawatan nombor satu pergerakan itu.
Penyandang Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz dijangka mengeluarkan kenyataan hari ini untuk mengumumkan untuk mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti Mac depan.
Najib berkata Wanita Umno mesti meneruskan tanggungjawab dan kerja mereka sebagai tulang belakang kepada parti Umno untuk terus memastikan bahawa Wanita Umno terus kuat dan kukuh. / Bernama













