Jan 6, 2009      RSS Berita Terbaru     
    Carian:  

Berita Terbaru


Hantar ke Facebook    Cetak    Beritahu Kawan

Obama, McCain ikrar era reformasi

20 Nov 2008 12:27AM

CHICAGO: Bakal presiden Amerika Syarikat,  Barack Obama, dan pesaing yang dikalahkannya,  John McCain, berikrar kelmarin akan mewujudkan satu 'era baru pembaharuan' untuk menghuraikan krisis ekonomi, merombak dasar tenaga dan memelihara keselamatan negara itu.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan dua minggu selepas pilihan raya pada 4 November, mereka berkata di sini bahawa rakyat Amerika daripada semua parti mahu pemimpin mereka bersatu padu dan 'mengubah tabiat buruk di Washington'.

Dalam satu pertemuan mereka selama sejam di ibu pejabat peralihan  Obama, bakal presiden daripada Parti Demokrat itu menegaskan lagi ikrar beliau hendak bekerjasama dengan  McCain apabila melakar agenda bagi empat tahun mendatang.

'Atas semangat inilah kami mengadakan perbincangan berguna hari ini mengenai perlunya melancarkan satu era reformasi baru, supaya kita dapat mengatasi perpecahan yang merugikan di Washington demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pemerintah, dan memulih kemakmuran dan peluang bagi setiap keluarga rakyat Amerika yang bekerja keras,' kata  Obama dan McCain dalam kenyataan itu.

'Kami berharap dapat bekerja sama dalam beberapa hari dan bulan mendatang mengenai cabaran kritikal, seperti menghurai krisis kewangan, mewujudkan ekonomi tenaga baru, dan melindungi keselamatan negara kita,' tambah mereka.

Pada awal pertemuan itu,  McCain, daripada Parti Republikan, ditanya pemberita apakah beliau akan membantu pentadbiran  Obama.

Beliau menjawab: 'Sudah pasti.'

Dalam satu wawancara dengan stesen televisyen CBS Ahad lalu,  Obama berkata beliau akan menyertakan setidak-tidaknya seorang anggota Parti Republikan dalam kabinet beliau. / AFP


Bakal presiden Amerika Syarikat

Iklan Teks

Ruang iklan untuk disewa. RM1 sehari, RM50 / 60 hari. Maksimum 20 patah perkataan sahaja...