Hantar ke Facebook
Cetak
Beritahu Kawan
Tuhan beri penjara, peluang untuk saya cermin semula hidup saya - Razak Baginda
20 Nov 2008 3:55PMKL: "Sejak dua tahun lalu, saya tidak sedar betapa jauhnya dunia tanpa sempadan," itu komen Abdul Razak Abdullah Baginda pada sidang media pertama selepas dibebaskan daripada tuduhan dalam kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu tiga minggu lalu.
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan yang tersebar di dalam blog-blog mengenai dirinya sepanjang beliau berada di dalam tahanan selama 22 bulan.
Razak menemui wartawan di sebuah hotel di ibu negara pada jam 9.30 pagi ini ditemani bapanya, Datuk Abdullah Malim Baginda dan tiga peguam; Avtaran Singh, Rozana Abdullah dan Alex Tan.
Dalam sidang media selama 45 minit itu, Razak menyifatkan tempoh beliau dipenjarakan sebagai waktu yang paling memberi tekanan, cemas dan sedih sepanjang 48 tahun kehidupannya.
"Saya menghabiskan 22 bulan dalam penjara dengan petunjuk daripada Allah SWT, kepercayaan yang saya tidak bersalah dan sokongan daripada keluaga dan teman-teman rapat.
"Ia adalah kasih sayang dan dedikasi yang melimpah ruah dalam memberi saya kekuatan untuk pulih dari sakit.
"Setiap Sabtu tanpa gagal, keluarga saya akan datang melawat semasa minggu dibenarkan melawat. Kedatangan mereka lebih daripada 100 kali dan ia merupakan sesuatu yang paling penting pada dalam minggu tersebut. Saya sangat bernasib baik," katanya.
Beliau berkata, dalam masa dua kali menyambut Hari Raya di penjara, beliau menerima tidak lebih daripada 20 keping kad ucapan.
"Memang lumrah alam, bila seseorang itu dalam kesusahan, orang lain akan menjauhi. Saya menjangka perkara yang sama (kepada saya) dan ia memang benar.
"Saya menyambut dua kali Hari Raya dalam penjara. Sebelum dipenjarakan, ketika musim Hari Raya, saya terima beratus-ratus kad ucapan.
"(Bagaimanapun), sepanjang tempoh dua tahun lalu, saya terima (kad ucapan) tidak lebih daripada 20 (kad ucapan)," katanya.
Diminta mengulas mengenai kehidupannya dalam penjara, Razak berkata, dalam tempaoh itu, beliau mendekatkan diri kepada Allah.
"Saya menganggap diri saya bertuah. Tuhan memberi saya peluang yang lebih baik selain kematian. Ada yang mati kerana serangan jantung dan sebagainya.
"Tapi, Tuhan memberi saya pemenjaraan. Itu memberi saya peluang untuk mencermin semula hidup saya. Rakan-rakan di penjara juga membantu saya untuk menyesuaikan diri di sana.
"Sehingga hari ini, saya sendiri kagum dapat bertahan selama 22 bulan," katanya.
Katanya, beliau turut menghabiskan masa di penjara dengan membaca.
"Saya banyak membaca. Tapi ada masanya, saya banyak membaca biografi tapi sejak setahun lalu, saya banyak membaca tentang Islam dan Nabi Muhammad serta politik Islam," katanya.
Ketika ditanya apa perubahan yang berlaku kepada dirinya sejak keluar daripada penjara tiga minggu lalu, Razak berkata, beliau begitu berselera ketika makan dan berat badannya semakin bertambah.
"Saya banyak sekarang. Berat badan saya naik. Di dalam penjara, semuanya (makanan) ditentukan untuk kamu, semuanya dirancang...masa makan, masa tidur.
"Sekarang saya sedang menyesuaikan diri," katanya. / Mstar

Dua kali beraya dalam penjara












