Hantar ke Facebook
Cetak
Beritahu Kawan
Kisah Michael Jackson hutang anak raja 7 juta dollar
20 Nov 2008 12:25AMLONDON: Anak seorang raja Arab dari Bahrain telah mengheret raja pop Michael Jackson ke mahkamah atas dakwaan penyanyi itu meminjam AS$7 juta daripada beliau bagi menghasilkan sebuah album dan autobiografi yang tidak pernah diterbitkannya.
Para peguam Sheikh Abdulla bin Hamad Al Khalifa berkata pelanggan mereka telah membiayai perbelanjaan penyanyi Amerika Syarikat itu sebagai satu pinjaman bertulis dan projek perakaman bersama dengan putera raja itu, yang juga seorang penulis lirik amatur.
Jackson pula mendakwa wang itu adalah satu hadiah.
Sheikh Al Khalifa, 33 tahun, dijangka memberi keterangan di Mahkamah Diraja London hari ini.
Peguam Jackson, Robert Englehart, berkata beliau meminta kebenaran untuk mendapatkan Jackson memberi keterangannya melalui video dari Los Angeles, Amerika.
Seorang peguam Sheikh Al-Khalifa berkata putera Arab itu kali pertama bercakap kepada Jackson, 50 tahun, menerusi telefon sedang penyanyi itu menghadapi satu perbicaraan di California berikutan penangkapan beliau pada 2003 atas dakwaan mencabul seorang kanak-kanak.
Peguam itu, Bankim Thanki, berkata Sheikh Al Khalifa mahu bekerjasama dengan Jackson demi membina semula kerjaya penyanyi itu setelah Jackson menghadapi masalah kewangan menyusuli penangkapan beliau dan benarbenar kekurangan wang. / AP

Anak raja Arab kena 'kencing'












