Hantar ke Facebook
Cetak
Beritahu Kawan
Terry mungkin 'angkat kaki' lawan Jerman
18 Nov 2008 8:38AMBIRMINGHAM: John Terry turut disertakan dalam skuad England bagi menentang Jerman dalam perlawanan persahabatan esok tetapi kapten pasukan Chelsea itu mungkin menarik diri kerana kecederaan pada kakinya.
Kecederaan itu dialami semasa pemain pertahanan itu membantu Chelsea menumpaskan West Bromwich Albion 3-0 dalam pertandingan Liga Perdana England di Hawthorns Sabtu lalu.
Terry digantikan pada lewat perlawanan itu dan beliau akan menjalani imbasan bagi memastikan taraf kecergasannya menjelang perlawanan persahabatan di Berlin nanti.
Selain daripada Terry, dua lagi pemain Chelsea, Ashley Cole dan Joe Cole, juga tidak dapat beraksi dalam perlawanan itu.
Walaupun Ashley turut diletakkan dalam senarai pemain simpanan semasa menentang West Bromwich, beliau masih tidak cergas sementara Joe difahamkan masih memerlukan waktu seminggu lagi sebelum dapat kembali beraksi dalam sebarang pertandingan kompetitif.
Pengurus pasukan Chelsea, Luiz Felipe Scolari, memberikan jaminan kepada pengurus England, Fabio Capello, bahawa tenaga Terry boleh digunakan sekalipun perlawanan itu lebih sekadar persahabatan.
'Jika Terry berada dalam keadaan baik, beliau akan bersama pasukan England. Saya menghormati keperluan pasukan England.
'Tetapi jika Terry tidak cergas, beliau tidak wajar menyarungi jersi England. Saya yakin Capello memahami keadaan ini. Tetapi buat masa ini, kami harus melihat keadaan Terry sebelum sebarang keputusan dibuat.
'Kecederaan Terry terletak di bawah tapak kakinya. Ia adalah kecederaan baru dan saya tidak pernah melihat seseorang pemain mengalami kecederaan seperti itu.
'Saya difahamkan Terry akan bertemu doktor untuk menjalani imbasan. Selepas itu, barulah kami tahu kedudukan kapten pasukan kami itu,' jelas Scolari.
Dalam perkembangan lain, kapten pasukan Liverpool, Steven Gerrard, telah menarik diri daripada skuad England selepas mengalami kecederaan pada kakinya.
Gerrard, yang turut menjaringkan gol semasa Liverpool mengalahkan Bolton 2-0, perlu berehat antara tujuh dengan 10 hari tetapi dijangka dapat kembali beraksi apabila pasukannya menentang Fulham di Anfield Sabtu ini.
Seorang jurucakap Liverpool, Ian Cotton, memberitahu: 'Gerrard mengalami kecederaan semasa menentang Bolton Sabtu lalu.
'Pemeriksaan doktor menunjukkan Gerrard mengalami kecederaan pada ototnya dan perlu berehat antara tujuh dengan 10 hari sebelum dapat sedia kembali beraksi.'
Gerrard adalah pemain utama ketiga yang menarik diri daripada skuad England untuk perlawanan ini.
Sebelum ini, dua pemain England, Rio Ferdinand dan Wayne Rooney, telah pun menarik diri kerana diganggu masalah kecederaan.
Sementara itu, Joachim Loew, yang sedang mempersiap skuad Jerman bagi perlawanan dengan England, menggariskan peraturan terhadap pemain-pemainnya ekoran daripada tengkarah dengan kapten pasukan, Michael Ballack, bulan lalu.
Semasa memberikan taklimat, jurulatih Jerman itu memberitahu para pemainnya tentang perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang 18 bulan mendatang.
Jerman sedang mendahului kumpulannya dalam kelayakan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
'Ia adalah taklimat yang jelas dan terbuka,' Loew memberitahu akhbar Jerman, Bild, kelmarin.
'Ia tidak boleh diperdebat atau dibincangkan lagi. Saya mahukan perjalanan yang lancar dalam usaha kami melayakkan diri ke Piala Dunia 2010 dan saya percaya mereka (para pemain) faham dan akan mematuhinya.' / AFP

England bakal berentap dengan Jerman dalam satu perlawanan persahabatan












