Jan 6, 2009      RSS Berita Terbaru     
    Carian:  

Berita Terbaru


Hantar ke Facebook    Cetak    Beritahu Kawan

Kemenangan Obama bukan gambaran bukan Melayu boleh jadi PM

17 Nov 2008 9:06AM

Oleh Shen Yee Aun 

KITA harus sedar bahawa sejarah Obama yang sebenar bukan melihat kepada perbezaan warna kulitnya tetapi perjuangan, personaliti , idelogi dan sifat yang dimiliki oleh beliau.

Sekiranya kemenangan Obama menyebabkan ada rakyat Malaysia mula menyoal patutkah orang bukan melayu menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti maka rakyat sudah terpesong daripada menghayati sejarah yang sebenar.

Apa yang diperlukan oleh Malaysia ialah seorang pemimpin yang berjiwa Malaysia. Sehubungan itu, apa gunanya sekirannya seorang India boleh menjadi Perdana Menteri tetapi individu tersebut ialah Samy Vellu dan seorang Cina boleh menjadi Perdana Menteri dan Cina itu ialah Ong Ka Ting? Adakah Malaysia akan merasai perubahan yang dilaungkan oleh Obama?

Kalau ada pemimpin Melayu yang berjiwa Malaysia seperti Khalid Samad , Nizar , Raja Petra , Tunku Abdul Aziz dan Zaid Ibrahim maka apa salahnya seseorang Perdana Menteri itu ialah seorang Melayu kepada bukan Melayu?

Apa salahnya kalau kita ada pemimpin Melayu yang boleh menjaga kepentingan bukan Melayu dan juga seorang pemimin bukan Melayu untuk menjaga kedaulatan bangsa Melayu?

Berbanding pula kita ada pemimpin tak kira apa bangsa sekalipun yang hanya akan mengutamakan bangsa sendiri melebihi bangsa lain.

Ketuanan Melayu bukan berpaksi pada kemaharajaan oleh Melayu tetapi berpaksi kepada Ketuanan Rakyat. Rakyat yang harmoni, bersatu padu dan kukuh adalah kunci terbaik untuk menjamin kepentingan orang Melayu tetapi sekirannya perjuangan ketuanan Melayu terus dilaungkan dan bukan Melayu pula rasa tergugat, terancam dan tercabar maka di mana letaknya perpaduan dan keadaan harmoni? Dalam keadaan yang tidak harmoni pula adakah orang Melayu masih mampu terus menjaga ketuanan mereka ?

Persoalannya kini saya tidak membantah sekiranya ada laungan orang bukan Melayu menuntut untuk menjadi Perdana Menteri tetapi berapa ramaikah pemimpin bukan Melayu yang berjiwa Malaysia?

Berapa ramaikah yang memahami adat , budaya dan perjuangan Melayu? Berapa ramaikah yang sudah berjiwa Melayu dalam diri mereka?

Untuk seorang pemimpin Melayu yang baik mereka perlu merasai jiwa bukan Melayu dan sebaliknya untuk pemimpin bukan Melayu untuk menjadi pemimpin yang baik mereka perlu berjiwa Melayu.

Ibarat Barrack Obama yang kulitnya hitam tetapi berjiwa Amerika dan juga sedia terus mempertahankan dan menjaga kepentingan kulit putih.

Namun di Malaysia Melayu sering dikaitkan dengan Islam. Islam mana, surah mana, ayat Al Quran mana dan hadis mana yang menyatakan Islam menyarankan perjuangan Melayu?

Saya amat memahami Islam dan agama yang murni, mulia dan suci ini kalau terus dipesongkan maka akhirnya yang bukan Islam sahaja akan terus berpandangan negatif terhadap agama yang mulia ini.

Kepada semua pemimpin bukan Melayu yang mahukan perubahan dan mahukan iktibar Obama dalam sejarah politik Malaysia maka saya hendak tanya berapa ramai dalam kalangan kamu semua yang sanggup berjuang untuk Bahasa Malaysia? Satu soalan sudah cukup.

Ramai mungkin tertanya mengapa Bahasa Malaysia? Jawapannya kerana kamu semua sering melaungkan bangsa Malaysia !

Kalau satu isu sekecil ini pun susah hendak kita jawab maka apa rasionalnya kita hendak menuntut orang Melayu untuk mengundi kita menjadi pemimpin mereka?

Melakar Sejarah, Membina Legasi, Membawa Perubahan

* Penulis merupakan Setiausaha DAP Cawangan Taman Gembira Klang merangkap Setiausaha Pemuda DAP Bahagian Klang dan Setiausaha Eksekutif DAPSY Kebangsaan - Pengarang

* Pembaca yang ingin menulis diruangan Minda Pembaca ini bolehlah menghantar artikel, berita, rencana atau apa saja bentuk penulisan ke webmasterklpos@gmail.com. Siaran tertakluk kepada kelulusan dari pihak pengarang.


Apa yang diperlukan oleh Malaysia ialah seorang pemimpin yang berjiwa Malaysia

Iklan Teks

Ruang iklan untuk disewa. RM1 sehari, RM50 / 60 hari. Maksimum 20 patah perkataan sahaja...