Jan 6, 2009      RSS Berita Terbaru     
    Carian:  

Berita Terbaru


Hantar ke Facebook    Cetak    Beritahu Kawan

0-3: 'No problem' buat Chelsea, Jose baru yang memikat

17 Nov 2008 8:08AM
Oleh Yusoff A. Rahman

WEST Bromwich Albion tumbang 0-1 di tangan Arsenal, kemudian rebah 0-4 di tangan Manchester United dan seterusnya kecundang 0-3 di tangan Liverpool.

Jadi, tidak sukar meramalkan apakah kesudahannya apabila West Brom berentap dengan Chelsea di stadium The Hawthorns dinihari semalam.

Chelsea membaham West Brom 3-0 tetapi yang menarik, Jose Bosingwa tidak membataskan peranannya sebagai bek kanan yang gemar menyertai gerakan serangan pasukannya.

Sebaliknya, beliau turut bergelar penyumbang gol dalam pertarungan ini.

Bahkan, golnya pada minit ke- 34 lebih menarik daripada gol-gol yang dijaringkan oleh Nicolas Anelka pada minit ke-38 dan minit ke- 45.

Tetapi ini bukan gol pertamanya dalam Liga Perdana England. Pemain antarabangsa Portugal itu turut menyumbatkan satu daripada dua gol kemenangan Chelsea ke atas Stoke City 2-0 pada 27 September lalu, juga dengan gaya jaringan yang menarik.

Apa yang menarik tentang golnya itu?

Siapa terfikir pemain bek kanan akan menjaringkan gol melalui rembatan kaki kirinya. Tetapi itulah kelebihan Bosingwa.

Sebab itu, penjaga gawang West Brom, Scott Carson, seperti tidak bersedia menghadapi rembatannya itu.

Lebih-lebih lagi, Bosingwa berada jauh dari kawasan yang mengancam. Maksudnya dari jarak 20 meter dari gawang lawan.

Tetapi yang jelas, rembatannya sungguh bertenaga dan menyerong. Justeru, Carson, yang pernah menyarung jersi pasukan England, benar-benar terpedaya.

'Kami berjaya membendung Chelsea tetapi gol pembukaannya adalah menarik,' demikian pengakuan pengurus West Brom, Tony Mowbray.

Kini, kita lebih mengerti kenapa pengurus Chelsea, Luiz Felipe Scolari, mendapatkan Bosingwa untuk memantapkan skuadnya dalam mengharungi cabaran pertandingan Liga Perdana England musim ini.

Peranannya tidak terbatas. Bosingwa boleh bertahan, boleh menyertai gerakan serangan dan juga menjadi penyumbang gol seperti kapten pasukan John Terry.

Ini bermakna dalam setiap perlawanan, Bosingwa adalah antara calon penjaring gol Chelsea. Seperti Anelka dan juga Frank Lampard.

Tetapi sebelum Chelsea membuka tirai jaringannya, West Brom, yang sentiasa mempunyai pendekatan positif sekalipun terperuk di tangga paling bawah pertandingan ini, terlebih dulu berpeluang mendahului jaringan pada minit ke- 16.

Malangnya, segala usaha Borja Valero, yang mencemaskan barisan pertahanan Chelsea, menjadi sia-sia kerana Ismail Miller gagal memanfaatkan gerakan itu.

Barangkali Miller terlalu ghairah bertindak sehingga beliau terlepas menyambar gerakan itu. Ini barangkali ada kaitan dengan pengalaman.

Tetapi bagi pemain seperti Anelka, beliau mempunyai pengalaman di peringkat kelab dan antarabangsa, lantas tidak gopoh apabila dihidangkan dengan peluang jaringan.

Kesudahannya, Anelka menyumbatkan dua gol pada minit ke-38 dan minit ke-45. Ini bermakna penyerang Chelsea itu masih kekal sebagai penjaring utama pertandingan ini dengan sumbangan 11 gol.

'Apabila beliau menerima hantaran satu, dua ataupun 10 kali dan tidak menjaringkan gol, ada beberapa pemain dalam pasukan yang akan hilang keyakinan kepada anda.

'Apabila beliau menerima satu dua hantaran dan kemudian menjaringkan gol, para pemain lain akan terus memberi peluang kepadanya untuk terus menjaringkan gol,' demikian kata Scolari mengenai kedudukan Anelka.

Jika Anelka terus dapat menjaringkan gol dalam setiap perlawanannya, maka kedudukannya sebagai tenaga penggempur Chelsea akan lebih terjamin berbanding Didier Drogba.

Scolari hanya memilih kesebelasan yang dapat menyumbang kepada kemenangan Chelsea. Tidak kira siapakah pemain itu.

Ini bererti tempat Anelka selalu terjamin.

Ia juga bermakna tempat Bosingwa dalam kesebelasan utama Chelsea sukar digugat.

Sebab, Bosingwa mengukir nama sebagai pemain serba boleh dalam pasukan Chelsea dan senarai itu tidak terbatas kepada Terry.

*****

Sementara itu tinjauan yang dilakukan di liga fantasi KLpos.com musim 2008/2009 mendapati penganjur liga tersebut Jeff Terry berjaya membawa pasukannya Malaysian Chelsea FC melonjak ke tangga 34 mengumpul sebanyak 83 mata minggu ini mengatasi rakan 'se-adminnya' Hilal yang berada ditangga ke-44 yang hanya berjaya mengumpul 78 mata.

Manakala pendahulu liga setakat ini, pasukan badut gila yang diterajui pengurus bernama fatul hakim mengumpul 102 mata minggu ini dan 742 mata keseluruhan.

Liga fantasi KLpos masih dibuka penyertaannya kepada semua. Pendaftaran boleh dilakukan di http://fantasy.premierleague.com/M/table.mc?id=95903 dan memasukkan kod liga 465493-95903 setelah pasukan didaftar.

Sejak dibuka penyertaannya Ogos lalu, liga fantasi KLpos.com ini telah disertai oleh lebih 650 pasukan dan pengurus dari pembaca KLpos.com dalam dan luar negara.

Peningkatan lebih sekali ganda berbanding musim 2007/2008 yang hanya menarik hampir 300 pasukan sahaja.

Kini liga KLpos.com berada di ranking 835 dari 131,580 liga seluruh dunia. / KLpos, BHS


Jose Bosingwa bek kanan yang serba boleh

Iklan Teks

Ruang iklan untuk disewa. RM1 sehari, RM50 / 60 hari. Maksimum 20 patah perkataan sahaja...