Hantar ke Facebook
Cetak
Beritahu Kawan
Dirundung malang: Chelsea terlingkup disepak kelab bawahan
14 Nov 2008 12:19PMLONDON: Kekalahan memalukan di tangan pasukan Liga Juara, Burnley, bakal menjadi lebih buruk bagi Chelsea selepas penyerang Didier Drogba mengaku melempar sekeping wang syiling ke arah penyokong pasukan lawan.
Para penyokong Burnley melempar wang syiling ke arah Drogba selepas pemain itu menjaringkan gol dalam babak pertama perlawanan pusingan keempat Piala Liga England di Stamford Bridge kelmarin.
Penyerang Ivory Coast itu membalas dengan mengutip dan melempar balik syiling tersebut ke arah para penyokong Burnley.
Drogba kemudian meminta maaf selepas Chelsea kalah 4-5 melalui penalti yang menyusul selepas perlawanan berkesudahan 1-1 selepas waktu tambahan.
Namun, beliau sudah pasti menghadapi siasatan FA England.
'Ini sesuatu yang mahu saya jelaskan. Saya cuba meraikan jaringan itu dan menerima sesuatu pula.
'Kesilapan besar yang saya lakukan ialah membalingnya balik, jadi jika ada sesiapa yang cedera, saya memohon maaf,' kata Drogba.
'Ini bukan sesuatu yang harus saya tunjukkan dalam perlawanan bola sepak dan saya mahu meminta maaf. Ia satu insiden yang tidak dirancang dan saya menyesal. Ia satu kesilapan, tidak lebih daripada itu.'
Drogba juga dilayang kad kuning kerana meraikan gol pembukaannya itu di depan penyokong pasukan lawan tetapi pengurus Chelsea, Luiz Felipe Scolari, menegaskan beliau tidak tahu insiden tersebut.
'Saya belum bercakap dengan Didier mengenai sebarang masalah. Saya lihat pengadil melayangkan kad kuning kepadanya dan saya melihat polis di sudut tersebut tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku.'
Ade Akinbiyi menyamakan kedudukan bagi Burnley dengan perlawanan tinggal 20 minit lagi.
Dalam tendangan penalti yang dilangsungkan kemudian, Brian Jensen menyelematkan sepakan Wayne Bridge dan John Obi Mikel untuk membolehkan pasukan pelawat menang 5-4. / AFP

Burnley raikan kejayaan manis tumbangkan gergasi Eropah di Stamford Bridge












