Jan 6, 2009      RSS Berita Terbaru     
    Carian:  

Berita Terbaru


Hantar ke Facebook    Cetak    Beritahu Kawan

Liverpool kena rembat '4 bijik' dengan Spurs

14 Nov 2008 12:15PM
Oleh Yusoff A. Rahman

BILAKAH kali terakhir jaring gawang Liverpool digegarkan dengan rembatan empat gol?

Jawapannya pada 9 Januari 2007 selepas Liverpool tumbang 3-6 di tangan Arsenal dalam Piala Liga England.

Di White Hart Lane dinihari semalam, Liverpool sekali lagi rebah tetapi 2-4 di tangan Tottenham Hotspur dalam pusingan keempat pertandingan yang sama.

Bezanya, kali ini, kapten pasukan, Steven Gerrard, direhatkan. Sebaliknya, Fernando Torres turut membentuk kesebelasan utama Liverpool sebagai persiapan pasukan itu menentang Bolton Wanderers di Stadium Reebok pada Sabtu ini.

Tetapi pengurus Liverpool, Rafael Benitez, membuat sebanyak 10 pertukaran daripada kesebelasan utamanya yang menewaskan West Bromwich Albion 3-0 dalam Liga Perdana England pada Sabtu lalu.

Namun, termasuk dalam kesebelasan utama Liverpool, selain Torres, ialah Sami Hyypia, Daniel Agger, Lucas dan Ryan Babel.

Ini bermakna Benitez kurang memberikan perhatian kepada Piala Liga dan sewajarnya beliau tidak perlu bersungut pasukannya telah terhumban daripada persaingan ini kerana matlamat utama pasukan itu pada musim ini ialah lebih kepada perjuangan dalam Liga Perdana England selain Liga Juara-Juara Eropah.

Ini barangkali berbeza dengan Spurs. Pasukan pimpinan Harry Redknapp tidak membuat banyak perubahan dalam kesebelasannya yang menewaskan Liverpool 2-1 dalam Liga Perdana England di White Hart Lane pada 1 November lalu.

Sebagai johan bertahan, Spurs sewajarnya lebih berusaha mempertahankan keunggulannya dalam pertandingan ini. Tambahan pula, Spurs sudah lama hilang peluang bersaing dalam Liga Perdana England.

Tetapi kenapa Liverpool kecundang?

Kita dengar apa reaksi Benitez.

'Para pemain yang dipilih ini adalah pemain-pemain antarabangsa. Mereka mempunyai kualiti tetapi gagal menyerlah.

'Apabila anda mempunyai dua tiga pemain yang tidak menyerlah, maka adalah sukar bagi para pemain lain beraksi cemerlang,' terang Benitez memberi alasan.

Benitez tidak menyebut nama-nama pemain itu. Ia mungkin pemain kesayangannya, Torres. Ia barangkali pemain antarabangsa Belanda, Babel.

Tetapi itu adalah masalah Benitez. Ia adalah masalah Spurs.

Bagaimanapun, Spurs tidak mempunyai masalah. Di bawah pengurus pasukannya yang baru, Redknapp, Spurs kelihatan bertambah yakin.

Dengan bekalan keyakinan itu, Spurs merempuh Liverpool kerana inilah peluang terbaiknya menimpakan kekalahan ke atas pasukan dari Anfield itu buat kali kedua.

Roman Pavluchenko membuka tirai jaringan pada minit ke-38 dan kemudian satu lagi pada minit ke-52.

Rakan sepasukannya, Fraizer Campbell, menyumbangkan gol-golnya pada minit ke- 42 dan minit ke-45, sementara dua gol Liverpool melalui Damien Plessis pada minit ke- 49 dan Samy Hyypia pada minit ke-63.

Tetapi bagi Redknapp, beliau lebih memikirkan bagaimana memastikan Spurs terus kekal dalam Liga Perdana England pada musim depan.

'Kami perlu 40 mata untuk berada dalam kedudukan selamat,' jelas Redknapp.

Melihat persembahan Spurs sejak Redknapp mengambil alih tugas sebagai pengurus, pasukan dari White Hart Lane itu akan kekal dalam Liga Perdana England.

Kemenangan ke atas Liverpool, salah satu gergasi pertandingan ini - bukan sekali, malah dua kali dalam tempoh dua minggu - menjadi bukti potensinya berada dalam liga elit di England.


Kali terakhir kena lebih dari '4 bijik' adalah dengan Arsenal 6-3 tahun lalu

Iklan Teks

Ruang iklan untuk disewa. RM1 sehari, RM50 / 60 hari. Maksimum 20 patah perkataan sahaja...