Jan 6, 2009      RSS Berita Terbaru     
    Carian:  

Berita Terbaru


Hantar ke Facebook    Cetak    Beritahu Kawan

'Man U Jr' lembab

13 Nov 2008 10:32AM

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson, berikrar mengekalkan kepercayaan terhadap para pemain simpanannya dalam suku akhir Piala Liga England selepas penalti Carlos Tevez membolehkan mereka mengatasi Queens Park Rangers (QPR) 1-0 dalam perlawanan pusingan keempat.

Tevez, yang disertakan dalam kesebelasan utama, menjaringkan gol keduanya dalam kempen United selepas menyempurnakan penalti yang diberikan pengadil apabila Peter Ramage mengasari pemain gantian United, Danny Welbeck, di Old Trafford.

Ferguson telah membuat lapan pertukaran ke atas kesebelasan utamanya bagi pertemuan dengan pasukan bukan dari Liga Perdana itu meskipun pemain remaja seperti Rodrigo Possebon, Darron Gibson dan Jonny Evans terkial-kial untuk menunjukkan kebolehan mereka menentang kelab dari barat London itu, bos United tersebut menegaskan beliau akan mengekalkan dasar menukar-nukar skuadnya, tidak kira siapa yang akan mereka temu di suku akhir nanti.

Ferguson berkata: 'Mereka pasti akan terlibat dalam pusingan selanjutnya, tidak kira siapa yang bakal kita tentang.

'Sikap mereka dalam perlawanan menentang QPR adalah bagus dan saya gembira kami dapat mara terus.

'Kesabaran dalam permainan mereka baik, selain daripada kepantasan permainan. QPR mempunyai benteng yang kukuh akhir-akhir ini, jadi ia sentiasa sukar.'

QPR, yang kini selesa di tangga ketujuh Kejohanan, bermain secara defensif untuk mengecewakan United bagi satu tempoh yang lama.

Namun, persembahan United meningkat selepas rehat dengan Rafael Da Silva menggelecek dua pemain Rangers sebelum mengumpan bola kepada Park Ji-Sung yang percubaannya menewaskan penjaga gawang Rangers, Radek Cerny, tetapi bola melantun balik apabila terkena tiang.

Tevez mendapat ruang tidak lama selepas itu apabila Park menghadang Damion Stewart, tetapi Cerny menolak percubaan pemain Argentina itu dari jarak 12 meter.

Sejurus selepas satu jam, United sekali lagi menguji barisan pertahanan pasukan pelawat apabila Tevez menghantar bola kepada Anderson di sebelah kiri, tetapi rembatan rendahnya itu dihadang oleh Cerny.

Gol kemenangan tiba pada minit ke-76 apabila Nani mengumpan bola kepada Welbeck tetapi larian pemain gantian itu terbantut apabila dijatuhkan oleh Ramege dalam kotak penalti.

Dan daripada penalti yang diberikan, Tevez memperdayakan Cerny untuk gol kemenangan United.

Ferguson akur kegagalan pasukannya memanfaatkan peluang sudah menjadi semacam satu kebiasaan.

Beliau berkata: 'Kami cuma perlu menembusi pertahanan mereka dan memanfaatkan peluang pertama... Itu yang sukar. Kami mencipta banyak peluang, tetapi buat masa ini, kami gagal memanfaatkannya.' / AFP


'Tim' muda MU terkial-kial sebelum tundukkan kelab bawahan Queens Park Rangers 1-0 di Old Trafford

Iklan Teks

Ruang iklan untuk disewa. RM1 sehari, RM50 / 60 hari. Maksimum 20 patah perkataan sahaja...