Hantar ke Facebook
Cetak
Beritahu Kawan
'Arsenal Jr' garang
13 Nov 2008 10:29AMOleh Yusoff A. Rahman
JIKA ada pertandingan khas untuk pemain simpanan Liga Perdana England, Arsenal pasti menjadi pilihan bergelar juara.
Bayangkan dengan menggabungkan kesebelasan utama yang secara purata berusia 19 tahun, skuad Arsenal 'junior' itu mampu menggilis Wigan 3-0 dalam pusingan keempat pertandingan bola sepak Piala Liga England di Stadium Emirates dinihari semalam.
Sejak memimpin Arsenal pada 1996, pengurus pasukannya, Arsene Wenger sentiasa menggunakan tenaga pemain muda dalam pertandingan ini yang juga dikenali dengan nama Piala Carling.
Bayangkan tidak satu pun pemain kesebelasan utama Arsenal yang mengatasi seteru utamanya, Manchester United, 2-1 dalam pertandingan Liga Perdana England pada Sabtu lalu, disertakan dalam perjuangan ini.
Sebaliknya, tunggak utama Arsenal seperti Cesc Fabregas sekadar menjadi penonton.
Pengurus England, Fabio Capello, yang antara lebih 60,000 penonton di Stadium Emirates untuk menyaksikan kemunculan pemain dalam skuad England beraksi dalam pertarungan itu pasti kecewa.
Sebabnya, Wenger memutuskan untuk merehatkan mereka termasuk pemain sayap, Theo Walcott, sementara penyerang Wigan, Emile Heskey, tidak dapat bermain kerana diganggu kecederaan.
Tetapi Capello sekurang-kurangnya pasti terhibur dengan bakat- bakat muda England dalam pasukan Arsenal seperti Jay Simpson yang menyumbatkan dua daripada tiga gol kemenangan pasukannya.
Kasihan pengurus pasukan Wigan, Steve Bruce.
Melihat pasukannya menyekat Tottenham Hotspur 0-0, mengalahkan Manchester City 2-1 dan sekadar rebah 2-3 di tangan Liverpool, Bruce, bekas pemain Manchester United, barangkali dicuit keyakinan tentang peluang pasukannya untuk melangkah ke peringkat suku akhir.
Sekurang-kurangnya dilihat dari segi pengalaman, Wigan mempunyai kelebihannya.
Tetapi di medan pertempuran, Arsenal 'junior' beraksi seperti Arsenal 'senior' - tangkas, lincah dan menghiburkan.
Maksudnya, permainan yang disajikan menarik dengan pemain-pemain rajin, bertenaga dan sentiasa menyerang walau selepas meluru 3-0.
Wigan, yang seri 0-0 dengan Stoke dalam perlawanan liga Sabtu lalu, hanya tidak dapat menggunakan Heskey tetapi tunggak-tunggak lain masih membentuk kesebelasan utamanya termasuk penyerang Mesir, Amr Zaki.
Untuk berlaku adil kepada Wigan, pertarungan jauh daripada berat sebelah.
Wigan juga mempunyai beberapa peluang untuk memperdayakan Lukasz Fabianski tetapi yang menjadi masalah utamanya, mereka gagal mencari sasaran.
Arsenal juga mempunyai peluang menambah jaringan tetapi penjaga gawang Wigan, Chris Kirkland, menjadi penghalang utama.
Tetapi, selincah-lincahnya Kirkland, beliau tetap diperdayakan, pertama melalui Simpson pada minit ke-42. Kemudian, Simpson muncul lagi untuk gol keduanya pada minit ke-66 sebelum penyerang berbakat dari Mexico, Carlos Vela, melebarkan jurang kedudukan 3-0 pada minit ke-70.
Jadi, tidak terperanjat jika mendengar reaksi Wenger selepas pertarungan ini.
Kata pengurus Arsenal itu: 'Saya macam terdorong mahu menyertakan mereka dalam skuad Liga Perdana England.'
Tetapi antara pemainnya itu, Wenger mengakui bahawa beliau kagum dengan persembahan Simpson.
'Beliau mempunyai perwatakan baik dan juga kekuatan fizikal,' ujar Wenger.
Bahkan, setiap pemain Arsenal wajar dipuji.
Dalam usia yang masih muda, mereka berjaya menunjukkan kematangan dalam permainan dan keberanian pemain dewasa sepanjang perlawanan yang menghiburkan itu.
Menjelang menentang Aston Villa di Stadium Emirates pada Sabtu ini, para pemain seperti Simpson dan Vela kelihatan pasti diletakkan dalam senarai pemain simpanan skuad Arsenal 'senior'.
Awas, Martin O'Neill!

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger












