Hantar ke Facebook
Cetak
Beritahu Kawan
Wanita Umno: Ini komen Azalina dari London
13 Nov 2008 10:23AMLONDON: Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, dan naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, perlu mencari jalan penyelesaian mengenai pelan peralihan kuasa yang ditetapkan.
Beliau berkata anggota-anggota pergerakan itu di peringkat akar umbi mungkin mahukan perubahan, tetapi pada masa yang sama wujud unsur janji mengenai tarikh peralihan kuasa itu.
Menurutnya, apa yang penting bagi pergerakan itu sekarang ialah fokus terhadap kekuatan parti bagi membantu mencapai kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan tapak pameran Tourism Malaysia yang dikenali sebagai Malaysia Pavilion di pameran World Travel Market (WTM) di ExCel, London, kelmarin, semasa mengulas mengenai keputusan Mesyuarat Exco Wanita Umno Isnin lalu yang memutuskan pelan peralihan kuasa antara Tan Sri Rafidah dengan Datuk Seri Shahrizat dikekalkan pada Jun depan.
Namun, terdahulu daripada itu, Datuk Seri Shahrizat dilaporkan mahu isu peralihan kepimpinan itu dirunding bagi mencari jalan penyelesaian terbaik selaras dengan pemilihan di peringkat Umno pusat, termasuk pergerakan Pemuda dan Puterinya.
Datuk Seri Azalina berkata fokus Wanita Umno sekarang ialah kuatkan parti, maka penyelesaian isu itu perlu disegerakan.
Datuk Seri Azalina, yang hanya mendapat 21 pencalonan bagi merebut jawatan Naib Ketua Wanita, tidak layak bertanding kerana tidak mencapai kuota 29 pencalonan. / Bernama













