Hantar ke Facebook
Cetak
Beritahu Kawan
Shahrizat tak masuk gelanggang berentap dengan Rafidah
10 Nov 2008 3:59PMKL: Walaupun Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mendapat pencalonan yang tinggi dari bahagian-bahagian seluruh negara bagi jawatan Ketua Wanita Umno Malaysia nampaknya keputusan Exco pergerakan itu yang baru habis bermesyuarat tidak menggambarkan kehendak akar umbi yang inginkan perubahan berlaku pada pemilihan tahun hadapan.
Keputusannya ialah pelan peralihan kuasa antara Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz kepada Naib Ketuanya, Shahrizat Abdul Jalil kekal pada Jun tahun depan.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Exco pergerakan itu yang dipengerusikan oleh Rafidah di sini hari ini.
Mesyuarat itu juga memutuskan jawatan Ketua dan Naib Ketua tidak akan dipertandingkan demi menjaga perpaduan pergerakan Wanita dan UMNO keseluruhannya.
Sementara itu Malaysiakini melaporkan Shahrizat yang hadir sama dalam sidang akhbar tersebut berkata, beliau akur dengan keputusan tersebut.
Mesyuarat exco Wanita hari ini menjadi tumpuan selepas Shahrizat mengeluarkan kenyataan malam tadi memohon Rafidah supaya menimbang mempercepatkan tarikh peralihan kuasa antara mereka berdua.
Selepas bahagian Umno selesai bermesyuarat semalam, Shahrizat mendapat 73 pencalonan untuk bertanding jawatan ketua pergerakan itu.
Rafidah pula mendapat 116 pencalonan bagi mempertahankan jawatannya Mac depan.
Dalam kenyataan itu juga, Shahrizat berkata Rafidah mengumumkan pelan peralihan jawatan itu Ogos lalu, sewaktu pemilihan parti dijadualkan berlangsung Disember ini.
Manakala tarikh peralihan kuasa antara Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika itu dijadualkan pada 2010.
Oleh itu, Shahrizat berkata, permohonannya itu adalah seiring sejalan dengan Umno induk, Pemuda, Puteri pada Mac 2009 sempena perhimpunan agung Umno iaitu tiga bulan lebih awal daripada bulan Jun.
Sebelum ini beberapa ketua Wanita bahagian secara terbuka menyuarakan pandangan mereka meminta Rafidah menyerahkan jawatan ketua pergerakan itu kepada Shahrizat Mac depan.
Menurut mereka, sekiranya Rafidah masih mahu menyerahkan kuasa pada Jun depan, ia bermakna Shahrizat akan menjadi pemangku ketua sehingga 2011.
Bagaimanapun, menurut mereka lagi, adalah lebih baik Shahrizat menjadi ketua pergerakan tersebut bagi memudahkan usaha memulihkan Umno yang kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu.
Menurut Rafidah lagi, keputusan tersebut dibuat sebulat suara demi perpaduan dalam Umno ekoran prestasi buruk parti itu dalam pilihanraya umum Mac lalu.
Ketika diminta mengulas pencalonan besar yang diterima oleh Shahrizat untuk bertanding jawatan ketua Wanita, Rafidah menyifatkannya sebagai satu perkembangan yang baik.
"Kalau bahagian calon orang lain, saya lagi risau...Kalau Shahrizat oklah, saya (pun) nak serah (jawatan ketua) kepadanya...jika calon lain, saya lagi risau...," katanya.
Menurut tinjauan KLpos.com dari ahli-ahli peringkat bawahan memberi pandangan berbeza-beza mengenai proses peralihan kuasa peringkat Wanita Umno ini.
Ada pendapat yang mengatakan Rafidah lah satu-satunya calon yang layak menjadi Ketua Wanita Umno Malaysia kerana kalau ikutkan prestasi pilihanraya lalu, Rafidah menang di parlimen yang ditandinginya di Kuala Kangsar sedangkan Shahrizat tewas kepada calon muda dari PKR, Nurul Izzah Anwar di Lembah Pantai.
Ini menunjukkan Rafidah lebih relevan memimpin pergerakan itu berdasarkan trend sokongan yang ditunjukkan rakyat pada 8 Mac lalu.
Bagaimanapun perdana menteri tidak melantik Rafidah untuk jawatan menteri sedangkan Shahrizat yang tewas pada pilihanraya lalu pula dilantik oleh Abdullah satu jawatan bertaraf menteri.
Apa pun keputusan telah dibuat, peralihan kuasa tetap pada Jun 2009. / KLpos, Utusan, Mkini

Shahrizat bakal memangku jawatan tersebut Jun depan hingga 2011

Kerjasama kekal hingga Jun depan

Rafidah tidak dilantik semula oleh PM ke jawatan menteri walaupun menang kerusi parlimen Kuala Kangsar












